Facebook catat keuntungan 3 kali ganda

Facebook catat keuntungan 3 kali ganda

SAN FRANCISCO, 28 April – Facebook semalam mengemukakan satu rancangan untuk mempertingkat kuasa Mark Zuckerberg tatkala rangkaian sosial itu melaporkan keuntungan yang kukuh. Keuntungan pada suku pertama bertambah tiga kali ganda berbanding setahun lalu kepada AS$1.5 bilion tatkala pendapatan meningkat kepada AS$5.4 bilion daripada AS$3.5 bilion dalam tempoh yang sama setahun sebelumnya.

Metrik utama pengguna aktif bulanan meningkat kepada 1.65 bilion, naik 15 peratus berbanding setahun lalu. Dan mereka yang menggunakan Facebook setiap hari bertambah 16 peratus kepada 1.09 bilion, dengan pemerolehan kukuh dalam jumlah orang yang menggunakan peranti.

Laporan menunjukkan Facebook sedang menggunakan kedudukan berpengaruhnya dalam media sosial untuk merangsang pendapatan periklanan tatkala ia menghubungkan lebih ramai orang dengan perkhidmatan baru seperti video langsung. Facebook juga mengumumkan bahawa lembaga pengarahnya meluluskan satu pelan untuk mewujudkan kelas saham bukan pengundian yang bertujuan mengumpul modal sementara meninggalkan Zuckerberg mengawal wawasan dan hala tuju syarikat.

Pemegang saham akan mengundi mengenai cadangan itu pada mesyuarat pemegang saham tahunan pada 20 Jun, menurut Facebook. Tindakan itu bertujuan membenarkan Zuckerberg kekal bertanggungjawab tatkala beliau menyerahkan sebahagian besar pegangannya kepada badan kebajikan seperti yang diumumkannya pada tahun lalu bersama isterinya.

“Kami menumpu pada jangka panjang, dan itulah sebab utama untuk cadangan hari ini,” kata Ziuckerberg ketika satu mesyuarat pendapatan. “Facebook telah dibina oleh beberapa siri tindakan berani.

Gambar fail bertarikh 21 Februari 2016 menunjukkan Mark Zuckerberg memberikan ucapan pada sidang media dalam malam perasmian Kongres Dunia Mudah Alih di Barcelona. – AFP
Gambar fail bertarikh 21 Februari 2016 menunjukkan Mark Zuckerberg memberikan ucapan pada sidang media dalam malam perasmian Kongres Dunia Mudah Alih di Barcelona. – AFP

Dan apabila saya melihat pada masa depan, saya melihat lebih banyak tindakan berani di depan kami daripada di belakang kami. Saya komited melihat misi ini berjaya.”

Zuckerberg berkata Facebook sentiasa menjadi syarikat yang dipimpin oleh pengasas, dan ia telah membenarkannya menumpu pada matlamat jangka panjang tanpa tunduk kepada tawaran pengambilalihan atau pengkritik. Facebook, seperti Google, disenaraikan dalam cara di mana kawalan diletak di tangan pengasas dan bukannya di tangan pemegang saham.

Inisiatif itu mensasarkan pada cabaran global seperti menyembuh penyakit, mempertingkat pendidikan dan melindungi alam sekitar daripada perubahan iklim, menurut Zuckerberg. Saham Facebook meningkat lebih sembilan peratus kepada AS$118.81 dalam perniagaan selepas pasaran yang menyusuli pengeluaran laporan pendapatan. – AFP