Fadilat solat Dhuha

Fadilat solat Dhuha

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 30 Sept – Umat Islam rata-rata meyakini bahawa salah satu keajaiban solat Dhuha ialah melancarkan rezeki dan ramai yang telah membuktikan bahawa setelah rutin mengerjakannya, rezeki mereka menjadi lebih lancar.

Terdapat hadis-hadis yang mengaitkan solat Dhuha dengan rezeki antaranya yang diriwayatkan oleh Muslim Abu Daud dan Ahmad daripada Abu Dzar bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda, “Setiap pagi, setiap ruas anggota badan kalian wajib dikeluarkan sedekahnya, setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh kepada kebaikan adalah sedekah, dan melarang berbuat mungkar adalah sedekah, semua itu dapat diganti dengan solat Dhuha dua rakaat.” (HR Muslim).

Sementara itu, hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud daripada Buraidah bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda; “Di dalam tubuh manusia terdapat 360 sendi, yang seluruhnya harus dikeluarkan sedekahnya.”

Mereka (para sahabat) bertanya, “Siapakan yang mampu melakukan itu wahai Nabiyullah?” Baginda menjawab, “Engkau membersihkan dahak yang ada di dalam masjid adalah sedekah, engkau menyingkirkan sesuatu yang mengganggu dari jalan adalah sedekah, maka jika engkau tidak menemukannya (sedekah sebanyak itu), maka dua rakaat Dhuha sudah mencukupi.” (HR Abu Daud).

Tazkirah Solat Dhuha dan Ratib Al-Attas disampaikan oleh pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Masjid Daerah Belait.
Tazkirah Solat Dhuha dan Ratib Al-Attas disampaikan oleh pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Masjid Daerah Belait.

Ini adalah sebahagian tazkirah mengenai solat Dhuha oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Shahbudin, pada Majlis Kuliah Dhuha bagi pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta serta ahli-ahli takmir masjid, jemaah dan Muslimah masjid yang diadakan hari ini di Masjid Muhammad Jamalul Alam di sini.

Seramai 50 orang menghadiri majlis tersebut yang antara lain bertujuan untuk menyahut hasrat dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta bagi menzahirkan rasa syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas segala nikmat dan rezeki yang telah diberikanNya kepada kita.

Ia juga untuk membudayakan amalan-amalan sunat seperti sembahyang sunat Dhuha, membaca zikir, Ratib Al-Attas kepada para peserta serta menjadikan zikir sebagai amalan harian dan budaya dalam kehidupan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis anjuran Jawatankuasa Takmir Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait itu ialah Pegawai Daerah Belait Haji Haris bin Othman.

ARTIKEL YANG SAMA