Fadli harumkan nama negara

Fadli harumkan nama negara

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Seorang pelajar tempatan telah mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam apabila dinobatkan sebagai Pelajar Antarabangsa Terbaik (tempat ke-2) seluruh negara semasa 4th National Union of Students/UK Council for International Students Abroad Internationalisation Awards di United Kingdom (UK), baru-baru ini.

Pencalonan Awang Mohd Fadli bin Haji Awang Zaini, 20, dalam anugerah berprestij itu berikutan penganugerahan Pelajar Antarabangsa Terbaik yang diterimanya semasa Majlis Penyampaian Anugerah Persatuan Pelajar Antarabangsa University of Essex pada April lalu.

Anugerah berprestij di UK itu telah disampaikan semasa Persidangan Tahunan UKCISA di University of Essex, bagaimanapun, Awang Mohd Fadli yang berada di tanah air pada masa itu telah diwakili oleh seorang pegawai universiti bagi menerima sijil dan plak bagi pihaknya.

Anugerah berkenaan bertujuan untuk mengiktiraf dan memberikan penghargaan atas kerja keras kesatuan-kesatuan, institusi, para pegawai dan pelajar dalam menyokong pelajar antarabangsa dan meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka di luar negara.

Menurut borang pencalonan Awang Mohd Fadli, yang merupakan mahasiswa Tahun 2 mengambil Ijazah Sarjana Muda Politik, Falsafah dan Ekonomi di University of Essex, penganugerahan ini mengiktiraf kerja-kerja beliau yang memberikan impak antarabangsa di dalam dan di luar universiti beliau.

Awang Mohd Fadli bersama salah satu anugerah yang diterimanya sebelum ini.
Awang Mohd Fadli bersama salah satu anugerah yang diterimanya sebelum ini.

University of Essex mempunyai kedudukan yang teratas di dalam bidang penyelidikan politik malah terkenal dengan pelajar-pelajar antarabangsa.

Awang Mohd Fadli merupakan bekas Timbalan Setiausaha Agung Kesatuan Pelajar Brunei di mana beliau telah memainkan peranan penting dalam menyediakan keperluan 38 rakyat Brunei di seluruh UK serta mengukuhkan dialog mereka dengan rakan-rakan belia ASEAN.

Beliau juga sangat aktif melibatkan diri dengan Brunei-Essex Society (BruEssex) dalam sama-sama memberikan bantuan dan berkongsi pengalaman di pertubuhan tersebut.

Di tanah air, beliau turut aktif melibatkan diri dengan program-program belia Brunei seperti TEDx, Brunei Enterprise dan PechaKucha.

Sementara itu, pada bulan Mac tahun ini, beliau bertindak sebagai pembawa bendera Pematuhan Hari Komanwel di Westminster Abbey di hadapan Ratu Elizabeth II dan kerabat diraja Britain lain.

Sebelum ini, beliau juga pernah menjadi Pengurus Projek AS-SEAYLP-2011 (YSEALI) dan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam pendidikan nilai-nilai alam dan penggunaan 4Rs di Sekolah Rendah Haji Tarip melalui Projek Penjagaan Ekologi Sungai Brunei. Beliau juga terlibat sebagai pegawai perhubungan awam bersama Hanna Hassanal di bawah projek yang sama dengan Green Brunei’s Nature’s Avengers.

“Alhamdulillah, saya amat berbesar hati dan bersyukur diberikan anugerah berprestij ini. Saya juga bercita-cita untuk menjadi contoh terbaik seperti Huwaida Ishaaq, Khairunnisa A’shari dan Fatin Arifin. Saya terus berdoa untuk pemimpin rakan-rakan belia dan berharap agar kerja-kerja yang kami lakukan akan mendapat memberi manfaat kepada mereka yang memerlukannya,” kata Awang Mohd Fadli.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan harapan untuk meneruskan pengajian sarjana dan ingin berkhidmat sebagai seorang penganalisis di sektor kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA