Fahaman, amalan ASWJ di Brunei sangat kukuh

Fahaman, amalan ASWJ di Brunei sangat kukuh

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI EBGAWAN, 20 Ogos – Seminar Serantau Sumbangan Ulama Asha’irah dan Maturidiyyah dalam Pemantapan Akidah Islamiah diteruskan lagi dengan pembentangan tiga kertas utama pada sebelah pagi, hari ini, yang berlangsung di Dewan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Pembentangan pertama disampaikan oleh Rektor UNISSA Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal yang menekankan keseimbangan dalam kehidupan beragama berpaksikan fahaman Ahli Sunnah Waljama’ah (ASWJ) aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah dalam kalangan masyarakat Islam Brunei sangat terserlah dan ketara.

Kertas pembentangan beliau bertajuk Pendekatan Akidah ASWJ di Brunei Darussalam dan Cabaran Mutakhir, antara lain menjelaskan kesan akidah ASWJ dalam sosioagama di negara ini.

Ini dapat dilihat dari empat aspek iaitu pegangan dan amalan masyarakat Islam Brunei, pengajian dan pendidikan agama, perlembagaan dan perundangan undang-undang Islam dan Institusi pengurusan dan pentadbiran agama Islam.

“Atas dasar pegangan seimbang dalam amalan beragama, masyarakat Islam Brunei dapat menikmati keamanan dan kesejahteraan sejak berkurun lamanya dan tidak timbul isu kufur mengkufur dan pemikiran ekstremis di kalangan mereka,” ujarnya.

Beliau seterusnya menegaskan, pegangan dan amalan masyarakat Islam Brunei dengan fahaman dan amalan ASWJ sangat kukuh dan sukar dirungkai terutama dalam kalangan orang awam.

Kertas kerja kedua bertajuk Syajaratul Ilmi Sebagai Asas Ketulenan Kefahaman ASWJ disampaikan oleh Pengarah Pusat Pengkajian ASWJ, KUPU SB, Profesor Madya Dr Syamsul Bahri Andi Galigo dan kertas ketiga disampaikan oleh Pengarah Pusat Pengajian Lepas Ijazah dan Penyelidikan UNISSA.

Manakala itu, Dr Hajah Rasniah binti Haji Ahim menyampaikan pembentangan bertajuk Sumbangan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz Dalam Menegakkan Aqidah ASWJ melalui Fatwa di Negara Brunei Darussalam.

Timbalan Rektor UNISSA, Dr Haji Mohd Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad dan Penolongnya, Dr Arman bin Haji Asmad antara yang hadir di majlis tersebut.