Fahami erti kemerdekaan sebenar

Fahami erti kemerdekaan sebenar

BULAN depan (Februari) merupakan bulan yang dinantikan oleh seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, manakala 23 Februari adalah tarikh yang lebih diingati ramai walaupun sebenarnya 1 Januari adalah tarikh sebenar kemerdekaan negara kita.

Kalau diamat-amati sejarah, kemerdekaan negara kita dicapai dengan aman penuh rundingan, musyawarah, muzakarah dan dialog, jauh sekali melibatkan perjuangan berdarah dan pengorbanan harta dan nyawa.

Hakikat inilah yang telah menyebabkan kita terlalai dan terpesong daripada sejarah sebenar di sebalik tabir pencapaian kemerdekaan negara. Sebilangan besar kita mudah dilambung pesona 23 Februari daripada mengenang perjuangan pemimpin-pemimpin kita yang terdahulu yang berkorban tenaga, air mata dan darah dalam mengelak negara kita daripada lenyap di peta dunia.

Almarhum Sultan Abdul Momin, Sultan Hashim Jalilul Alam, Sultan Muhamad Jamalul Alam, Sultan Ahmad Tajudin dan yang paling utama, Almarhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien III semua berjuang untuk memastikan negara kita akan tetap dan sentiasa wujud di persada dunia.

Apakah ungkayah kita sebagai rakyat negara untuk mengenang budi dan jasa mereka? Kita harus ingat datuk, nenek dan indung kita pernah bernaung di bawah pemerintahan mereka. Tiada mereka, tiadalah kita berkesempatan merasa udara kemerdekaan, memijak tanah Brunei bumi bertuah, menyaksikan bendera kuning, putih, hitam dan merah berkibar megah.

(国际)(2)文莱举行游行集会庆祝国庆26周年

Jangan hendaknya kita ayung dibuai ombak gelora kemodenan, jangan hendaknya kita alpa akan asal-usul kita, jangan hendaknya kita ketepikan dan nafikan hak sebenar kita untuk bernegara.

Negara kita akan masih wujud walaupun kita sudah lenyap ditelan bumi, kerana yang bakal merasa hasil-mahsul ungkayah dan jerih-payah kita adalah anak, cucu, cicit dan piut kita. Kita hanya meminjam negara merdeka lagi berdaulat ini daripada mereka. Semoga Negara Brunei Darussalam yang tercinta ini diisi dengan generasi yang bukan sahaja berwawasan malah sanggup bekarih dan bejarih untuk beroleh kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan purih kesatriaan negara sampai bila-bila. Renungkanlah – Ugan Brunei, Bandar Seri Begawan

ARTIKEL YANG SAMA