Fahami erti zakat

Fahami erti zakat

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Feb – Dalam usaha untuk memberikan kefahaman yang betul mengenai ibadat zakat, Unit Kursus, Bahagian Penyebaran Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah telah mengadakan Kursus Pengukuhan Islam ‘Fiqh Az Zakat’ bagi pegawai dan kakitangan kerajaan Bahagian II ke bawah.

Kursus empat hari, bermula hari ini sehingga 3 Mac itu diadakan di Bilik Mau’izzah, Bangunan Darul Huda dan dihadiri oleh 55 orang peserta yang terdiri daripada 27 orang peserta lelaki dan 28 orang peserta perempuan.

Terdahulu, kursus itu dimulakan dengan sesi taklimat yang telah disampaikan oleh Ketua Unit Kursus, Hajah Noraini binti Haji Saman.

Manakala itu, tenaga pengajar yang terlibat mengendalikan kursus tersebut ialah pegawai dari Unit Kursus, Bahagian Penyebaran Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah, Haji Anwari bin Haji Rawee.

Antara isi kandungan kursus termasuk pengertian zakat, dalil kewajipan zakat, hubungan zakat dengan sembahyang, zakat dan perhubungan persaudaraan, jenis-jenis zakat, Zakat Fitrah, Zakat Harta Benda dan hikmah zakat.

Haji Anwari semasa menyampaikan kursus kefahaman ibadat zakat.
Haji Anwari semasa menyampaikan kursus kefahaman ibadat zakat.

Pada tahun ini, unit kursus mengadakan sikit pembaharuan dalam kursus Fiqh Az Zakat yang mana satu sesi khas penerangan mengenai perancangan kewangan Islam telah diadakan.

Perancangan kewangan Islam adalah kemampuan mengeluarkan zakat yang juga merupakan satu manifestasi perancangan kewangan yang betul dan bermatlamat dalam merebut keuntungan dunia dan akhirat.

Bagi tujuan ini, pihak Unit Kursus telah menjemput seorang pegawai dari Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam, Autoriti Monetari Brunei Darussalam, Dayang Ida Nazrina binti Haji Bujang untuk menyampaikan sesi khas penerangan tersebut.

Di samping itu, para peserta kursus juga akan dibawa melawat ke Bahagian Agihan dan Kutipan Zakat, Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei dalam memberikan peluang kepada mereka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pentadbiran dan pengurusan zakat di negara ini termasuklah bagaimana zakat fitrah dan harta dikutip seterusnya diagihkan kepada asnaf yang berhak menerimanya.

Kursus ini juga bertujuan untuk meningkatkan lagi pengetahuan rukun Islam yang keempat iaitu zakat dan melahirkan kesedaran mengenai dengan kewajipan mengeluarkan zakat.

Dengan adanya kursus ‘Fiqh Az Zakat’, ia diharap akan dapat memperkukuhkan lagi amalan beragama di Negara Brunei Darussalam dengan lebih sempurna dan teratur.

ARTIKEL YANG SAMA