Fahami, hayati rukun Islam kedua

Fahami, hayati rukun Islam kedua

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Feb – Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama hari ini mengadakan Kursus Pengukuhan Islam bagi Pegawai dan Kakitangan Kerajaan 2016 yang disertai oleh seramai 68 orang pegawai dan kakitangan kerajaan, di Bangunan Darul Huda, Pusat Dakwah Islamiah.

Kursus empat hari, bermula hari ini, dengan tema Fiqh As Shalah itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan mengenai rukun Islam yang kedua, iaitu sembahyang, meningkatkan kefahaman mengenai hukum sembahyang yang bersesuaian dengan mazhab Syafie dan menghalusi bacaan dan tatacara dalam ibadah sembahyang.

Antara kandungan kursus yang disertai 28 orang peserta lelaki dan 40 orang peserta perempuan itu termasuk mengenai pengertian, rukun dan sunat sembahyang, perkara makruh serta perbezaan lelaki dan perempuan dalam sembahyang, perkara yang membatalkan sembahyang, sujud sahwi, sujud syukur dan sujud tilawah.

Turut mengisi kursus itu ialah pengertian mengenai sembahyang sunat dan berjemaah, muafik dan masbuk, sembahyang Jumaat, qasar dan jamak, sembahyang orang sakit serta menghalusi bacaan dalam sembahyang dan praktikal sembahyang.

Haji Imaharan ketika menyampaikan taklimat mengenai sembahyang.
Haji Imaharan ketika menyampaikan taklimat mengenai sembahyang.
Antara pegawai dan kakitangan yang mengikuti Kursus Fiqh As Shalah selama empat hari itu.
Antara pegawai dan kakitangan yang mengikuti Kursus Fiqh As Shalah selama empat hari itu.

Taklimat kursus telah disampaikan oleh Ketua Unit Kursus, Bahagian Penyebaran Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah, Hajah Noraini binti Haji Saman yang dibantu oleh dua orang pengendali kursus, iaitu Haji Imaharan bin Haji Metali dan Dayang Amalhayati binti Haji Amit.

Dalam kenyataannya, Pusat Dakwah Islamiah berharap bengkel itu dapat memberikan kefahaman, mengulang kaji pengetahuan yang ada dan meningkatkannya lagi supaya dapat diamalkan dalam kehidupan serta menghayati ajaran Islam dengan penuh keyakinan serta ketakwaan kepada Allah S.W.T.

ARTIKEL YANG SAMA