Fahami kaedah betul pengurusan

Fahami kaedah betul pengurusan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN – Memahami struktur, peranan dan fungsi dalam pengurusan sesebuah organisasi adalah sangat penting bagi hala tuju dan kejayaan sesebuah persatuan kerana ia memberi kelebihan serta kemahiran bagi memudahkan perancangan dalam mengendalikan sesebuah persatuan itu.

Sehubungan itu, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) menerusi Bahagian Perhubungan dan Penerbitan mengadakan Bengkel Pengurusan dan Pentadbiran Pasukan Pengakap kepada Ketua-ketua Patrol, Penolong-penolong Ketua Patrol, Ahli Jawatankuasa Pengakap Remaja dan Krew Pengakap Kelana di Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Jalan Gadong, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat di bengkel berkenaan ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali yang juga menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan dan sijil penghargaan kepada semua peserta dan jurulatih bengkel.

Turut hadir Pesuruhjaya-pesuruhjaya Pengakap, Pesuruhjaya Pengakap Daerah dan Pemimpin-pemimpin Pasukan Pengakap. Bengkel sehari itu disertai oleh seramai 56 orang ahli Pengakap yang mengetuai Patrol, Jawatankuasa Pengakap Remaja dan Krew Pengakap Kelana daripada Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja Mentiri, Sekolah Menengah Masin, Sekolah Menengah Rimba, Sekolah Menengah Menglait, Sekolah Menengah Sayyidina Hussain, Sekolah Menengah Awang Semaun, Pasukan Pengakap Kelana Terbuka Gadong dan Pasukan Pengakap Kelana Terbuka Kampung Masin.

Sebahagian daripada peserta bengkel.
Sebahagian daripada peserta bengkel.
Haji Awang Badar bergambar ramai bersama peserta bengkel.
Haji Awang Badar bergambar ramai bersama peserta bengkel.

Bengkel sehari itu bermatlamat untuk memberi pengetahuan asas di dalam bidang pengurusan supaya para peserta dapat memahami kaedah yang betul dalam pengurusan Majlis Ketua-Ketua Patrol, Majlis Jawatankuasa Pengakap Remaja dan Majlis Krew Pengakap Kelana, pengendalian mesyuarat Pasukan Pengakap, penulisan minit mesyuarat, penulisan kertas kerja bagi menjalankan aktiviti, memo, persuratan serta sistem fail.

Ia juga dihasratkan untuk memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai struktur organisasi dan hubungan dengan Pergerakan Pertubuhan Pengakap Sedunia, Rantau Asia Pasifik dan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam serta menjadikan ahli-ahli Pengakap celik di dalam bidang pengurusan Pasukan Pengakap.

Bengkel itu dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih Pengakap iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Pengakap, Haji Mohd Zali bin Haji Arsad, Pesuruhjaya Antarabangsa Pengakap, Awang Abdul Manan bin Haji Abdul Latip, Pegawai Eksekutif Pengakap merangkap Setiausaha Pasukan Latihan Pengakap Kebangsaan, Awang Zainudin bin Haji Ishak, Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Penyelidikan dan Perkembangan, Awang Mohammad Arif bin Abdul Hadi dan Pesuruhjaya Perhubungan dan Penerbitan, Awang Mohammad Syahmi bin Halimshah.

ARTIKEL YANG SAMA