Fahami kaedah penilaian baru FATF

Fahami kaedah penilaian baru FATF

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Unit Perisikan Kewangan, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) selaku Urus Setia Jawatankuasa Kebangsaan bagi Membanteras Pembersihan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan (NAMLC), baru-baru ini, telah mengadakan Seminar Anti Pelaburan Wang Haram dan Membanteras Pembiayaan Pengganasan (AML/CFT) yang berlangsung selama dua hari di Dewan Teater Bangunan Kementerian Kewangan di sini.

Menurut kenyataan AMBD, hari ini, dua orang pakar dari Kumpulan Asia/Pasifik mengenai Pembersihan Wang Haram (APG) telah diundang khas untuk menyampaikan taklimat semasa seminar tersebut.

Seminar yang telah dibahagikan kepada empat sesi ini, pada amnya, bertujuan untuk memberikan pemahaman yang lebih jelas kepada pihak-pihak yang berkenaan mengenai proses kaedah penilaian baru yang telah dikeluarkan oleh pihak Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF).

Selain itu juga, saranan-saranan FATF berhubung langkah-langkah yang perlu diambil oleh negara-negara ahli dalam memerangi pembersihan wang haram, pembiayaan pengganasan dan pembiayaan senjata pemusnah besar-besaran.

Pentingnya komitmen yang perlu diberikan oleh sesebuah negara ahli di pelbagai peringkat kepada proses tersebut juga telah ditekankan.

Dua pakar dari Kumpulan Asia/Pasifik mengenai Pembersihan Wang Haram (APG) yang diundang khas untuk menyampaikan seminar berkenaan.
Dua pakar dari Kumpulan Asia/Pasifik mengenai Pembersihan Wang Haram (APG) yang diundang khas untuk menyampaikan seminar berkenaan.

Pada hari pertama (25 Ogos) penerangan, yang menumpukan kepada tatacara penilaian risiko pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan agar negara-negara ahli dapat mengambil langkah-langkah pengurangan selaras dengan risiko yang telah dikenal pasti, termasuk kerjasama di peringkat kebangsaan, telah disampaikan kepada ahli-ahli NAMLC dan pegawai-pegawainya secara berasingan. Ini adalah selaras dengan saranan-saranan FATF 1 dan 2.

Selain itu, turut diterangkan adalah mengenai kaedah FATF baru bagi menilai pematuhan saranan-saranan FATF, tahap keberkesanan sistem-sistem AML/CFT serta proses Penilaian Bersama APG.

Sementara itu, dalam sesi khas pula, pegawai-pegawai dan kakitangan AMBD telah diterangkan mengenai rangka kerja penyeliaan institusi-institusi kewangan dan perniagaan-perniagaan serta profesion bukan kewangan yang ditentukan berasaskan kepada risiko-risiko yang dihadapi institusi-institusi berkenaan. Ini adalah selaras dengan keperluan FATF Immediate Outcome 3.

Manakala itu, sesi bagi institusi-institusi kewangan dan perniagaan-perniagaan serta profesion bukan kewangan yang ditentukan pula menekan keperluan bagi institusi-institusi tersebut untuk mengenal pasti, menilai dan mengambil langkah-langkah yang berkesan dalam menangani risiko pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan yang dihadapi.

Langkah-langkah pencegahan termasuk usaha wajar pelanggan, penyimpanan rekod dan membuat laporan transaksi yang mencurigakan juga telah diterangkan.

Menurut kenyataan itu, seminar AML/CFT ini merupakan sebahagian daripada program peningkatan kesedaran Unit Perisikan Kewangan, AMBD sebagai persediaan bagi proses Penilaian Bersama APG bagi Negara Brunei Darussalam pada tahun 2020.

Negara Brunei Darussalam menjadi ahli APG sejak Disember 2002 dan sebagai ahli, negara ini akan dinilai tahap pematuhannya terhadap piawaian antarabangsa AML/CFT yang telah ditetapkan oleh pihak FATF.

ARTIKEL YANG SAMA