Fahami peranan pendakwa raya

Fahami peranan pendakwa raya

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Dalam usaha untuk meluaskan pemahaman terhadap proses undang-undang dan peranan serta fungsi pendakwa raya, Bahagian Keadilan Jenayah, Pejabat Peguam Negara di Bangunan Mahkamah dan Undang-undang, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, hari ini menerima kunjungan rombongan pelajar dan guru Pusat Tingkatan Enam Tutong.

Pemangku Ketua Bahagian Keadilan Jenayah, Dayang Norhayati binti Dato Paduka Haji Omar dalam ucapannya menjelaskan, kerja-kerja sebagai seorang pendakwa raya adalah pelbagai rupa yang melibatkan kemahiran seperti memberikan sokongan di mahkamah dan juga mempunyai keupayaan untuk menilai kes-kes jenayah berdasarkan bukti yang dikemukakan oleh penyiasat.

Menurut beliau lagi, bagi para pelajar yang berminat bolehlah memohon penempatan kerja di Pejabat Peguam Negara agar mereka dapat melihat sendiri cara-cara pendakwa raya menjalankan tugas-tugas mereka di mahkamah di samping menangani kes-kes jenayah yang telah dilaporkan.

Rombongan pelajar dan warga Bahagian Keadilan Jenayah, Pejabat Peguam Negara bergambar ramai.
Rombongan pelajar dan warga Bahagian Keadilan Jenayah, Pejabat Peguam Negara bergambar ramai.

Dalam lawatan itu, para pelajar juga berpeluang mendengarkan beberapa taklimat daripada unit tindakan undang-undang Bahagian Keadilan Jenayah mengenai cara mereka berurusan dengan pelbagai jenis jenayah seperti kesalahan-kesalahan seseorang individu, kesalahan dadah, kesalahan harta benda dan lain-lain.

Rombongan juga diberikan peluang untuk menyertai sesi soal jawab sebelum diakhiri dengan lawatan ke Mahkamah Teknologi.

Lawatan yang dianjurkan oleh Bahagian Keadilan Jenayah dan Pentadbiran serta Jabatan Kewangan itu merupakan sebahagian daripada strategik wawasan Pejabat Peguam Negara dalam mendidik orang ramai, terutamanya generasi muda masa kini mengenai dengan undang-undang serta sistem perundangan di Negara Brunei Darussalam.