Fahami tugas masing-masing

Fahami tugas masing-masing

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Apa itu bola sepak? Kita tidak sesekali dapat menerima pemain yang merosakkan bola sepak dan karier seorang pemain bola sepak!

Kita mahu mengelak daripada berlakunya lagi perkara sebagaimana hilangnya Marco Van Basten dari arena bola sepak dunia akibat bentesan dengan daya berlebihan yang mengakhiri karier beliau.

Untuk mencapai tujuan itu semua pihak iaitu pengadil, pemain, pengurus dan jurulatih perlu memainkan peranan masing-masing, saling memahami tugas masing-masing dan sentiasa memiliki pengetahuan Undang-undang Permainan (Law of the Game) FIFA yang terkini.

Itulah antara yang ditegaskan oleh Pegawai Perkembangan Pengadil FIFA dari Malaysia, Md Rodzali bin Yaacob ketika Perjumpaan Pengurus/Jurulatih Pasukan Liga Super & Perdana 2015 Bersama Pegawai Perkembangan Pengadil FIFA di NFABD House iaitu semasa berlangsungnya Kursus Pengadil MA 2015 yang masuk hari kelimanya hari ini.

Beliau menegaskan bahawa semua perlu jelas dengan batas bidang kuasa masing-masing dan saling bekerjasama dalam mencapai permainan adil yang didambakan supaya tidak akan berlaku insiden tidak diingini berlaku akibat daripada kekasaran, kelakuan biadab, tidak sopan, bantah membantah secara penuh emosi dan sebagainya yang boleh memburukkan pandangan ramai kepada bola sepak.

Md Rodzali ketika menyampaikan taklimat pada sesi perjumpaan itu.
Md Rodzali ketika menyampaikan taklimat pada sesi perjumpaan itu.

Kita perlu membangun dan memajukan industri bola sepak secara sihat.

Pasukan perlukan penaja dan penaja perlukan penonton, oleh itu kita perlu faham yang penonton hanya akan mahu hadir menyaksikan perlawanan bola sepak yang bermutu tinggi dan menghiburkan yang hanya akan dapat dicapai melalui kerjasama semua pihak memastikan setiap perlawanan berlangsung secara adil, tambahnya.

“Sememangnya kita akui pengadil tidak lepas daripada melakukan kesilapan tetapi semua juga perlu faham dan tahu saluran hendak dituju jika ingin menyampaikan bantahan atau aduan masing-masing dan bukannya terus membantah secara lisan di atas padang kerana ia hanya akan membuang waktu permainan 90 minit yang diperuntukkan sehingga statistik menunjukkan majoriti perlawanan hanya berlangsung kurang daripada 60 minit.”

Kita boleh terima sedikit bantahan tetapi tidak yang keterlaluan sebagaimana yang kita saksikan di EPL, mungkin itu budaya mereka tetapi tidak dalam FIFA dan tidak dalam AFC, tegas Md Rodzali lagi.

“Tujuan kita sama iaitu membangun bola sepak di Negara Brunei Darussalam, maka tujuan perjumpaan ini bukanlah untuk mengajar tetapi berkongsi ilmu berkaitan undang-undang permainan terkini yang mungkin sudah diketahui dan mungkin tercicir.”

Kita semua dan para pengadil sentiasa ada kekurangan masing-masing tetapi yang penting kita semua sentiasa mahu memperbaiki diri dan menerima teguran membina demi kepentingan bersama dan pembangunan bola sepak, tambahnya.