Fahami tugas sebagai polis pengiring

Fahami tugas sebagai polis pengiring

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Mereka dilihat sebagai anggota polis yang sombong serta berlagak di atas jalan raya, namun tidak ramai yang memahami tugas berat yang diamanahkan kepada mereka sebagai anggota polis pengiring bermotosikal.

“Sebab itu ada yang marah dan memaki kami serta meluat melihat kami,” kata Koperal Sukre Abdul Rahim, 52.

Beliau yang pernah menjadi anggota pengiring Polis Diraja Malaysia kepada Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama ketika berada di negara ini, berkata orang ramai menganggap tugas mereka hanya untuk memudahkan perjalanan orang kenamaan, bukan orang ramai.

“Namun ia merupakan protokol yang perlu kami ikuti apabila mengiring tetamu kehormat negara,” katanya yang telah berkhidmat selama 31 tahun sebagai Polis Pengiring Unit Gerak Khas di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur.

Sukre menambah walaupun mereka kelihatan hebat ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi, namun jika berlaku sebarang kesilapan dalam melaksanakan tugas mengiring, ia akan memberi kesan kepada ramai pihak selain individu yang diiring.

Anggota polis trafik dari Unit Gerak Khas Trafik Kuala Lumpur melakukan persiapan sebelum melakukan tugasan. - Bernama
Anggota polis trafik dari Unit Gerak Khas Trafik Kuala Lumpur melakukan persiapan sebelum melakukan tugasan. – Bernama

Antara cabaran ketika bertugas bagi anak jati Kota Sarang Semut, Kedah ini ialah terpaksa berdepan pengguna jalan raya yang degil.

“Ada sesetengah pemandu sengaja tidak mahu beri laluan. Mungkin mereka ingat kami suka-suka suruh mereka beri ruang tanpa memikirkan faktor keselamatan orang awam dan sebagainya,” katanya.

Sarjan Mejar Noor Azmi Ariffin, 56, yang turut pernah mengiringi kenderaan Obama berkata ia merupakan kenangan indah sepanjang kerjayanya sebagai anggota polis pengiring selama 22 tahun.

“Kami terpaksa lencongkan kenderaan untuk mengosongkan jalan raya. Saya rasa itu perkara luar biasa yang dilakukan bagi memberi laluan kepada pemimpin atas faktor keselamatan,” katanya.

Penyelia Kanan Unit Gerak Khas, Balai Polis Trafik Kuala Lumpur ini berkata sebagai anggota pengiring, mereka juga perlu menghafal setiap laluan alternative ketika membawa orang kenamaan, sebagai langkah keselamatan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA