Fahami usaha tangani jerebu

Fahami usaha tangani jerebu

JAKARTA, 28 Sept (Bernama) – Indonesia hari ini meminta Malaysia dan Singapura memahami usaha republik itu menangani isu jerebu yang semakin serius.

Ketua Staf Pejabat Presiden, Teten Masduki dipetik oleh portal-portal berita tempatan hari ini sebagai berkata, jerebu tidak dapat diselesaikan dengan cepat kerana kawasan kebakaran di ladang kelapa sawit dan tanah gambut itu sangat luas.

Teten berkata, pihaknya mengesahkan telah menerima nota bantahan daripada Malaysia dan Singapura mengenai isu jerebu di kedua-dua buah negara itu yang dikaitkan dengan aktiviti pembakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan.

Katanya, kerajaan Indonesia tidak berdiam diri dan sedang mengambil pelbagai usaha untuk memastikan kebakaran seumpama itu tidak berulang.

Beliau juga berkata, Malaysia dan Singapura selama ini telah menikmati hasil hutan Indonesia bukan sekadar bahan baku produk industri malah keberadaan hutan Indonesia juga turut menyumbang oksigen kepada kedua-dua buah negara itu.

Kerajaan Singapura dalam satu kenyataannya kelmarin berkata, lima buah syarikat Indonesia termasuk syarikat multinasional, Asia Pulp and Paper (APP) bakal menerima notis tindakan undang-undang.

Langkah itu berikutan kemelut diplomatik ekoran kegagalan Indonesia menghentikan jerebu berasap yang turut memberi kesan kepada Malaysia dan berterusan sejak bertahun-tahun.

Sementara itu, jerebu yang serius ditahap berbahaya masih melanda wilayah Pontianak di Kalimantan Barat dan semua sekolah di daerah Palangkaraya di wilayah itu terpaksa ditutup hari ini.

Menurut laman web Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Pontianak adalah antara 750 dan 800 sejak tengah hari tadi.

Selain itu, daerah Pekanbaru di Riau masih dalam keadaan darurat jerebu dan menurut laporan berita televisyen tempatan, jarak ketampakan di Pekanbaru sekarang hanya 100 meter dan bacaan IPU mencecah 858.

ARTIKEL YANG SAMA