Faiq mantapkan pasukan kebangsaan

Faiq mantapkan pasukan kebangsaan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Pasukan Brunei Darussalam akan membawa masuk pemain handalan remaja, Faiq Jefri Bolkiah bagi mengukuhkan lagi skuad yang akan beraksi pada pusingan kelayakan Piala Suzuki AFF 2016 di Phnom Penh, Kemboja nanti.

Faiq, yang pernah berkhidmat bersama skuad remaja Chelsea dan kini menyertai pasukan juara Liga Perdana Inggeris, Leicester City kembali ke negara ini dan menjalani latihan persiapan untuk kejohanan tersebut.

Selepas tewas tanpa memperoleh sebarang jaringan pada aksi persahabatan antarabangsa antara B-22 Malaysia, skuad negara kini akan mempertaruhkan Faiq sebagai pemain tengah bagi memantapkan rentak pasukan.

Portal berita Sports 247.my memetik Faiq sebagai berkata: “Saya akan bermain di bahagian tengah di belakang penyerang dan saya akan mencuba sedaya upaya untuk menjadi perancang untuk negara saya.”

“Saya akan membuat lebih banyak gerakan dan melihat keadaan permainan sekeliling. Saya akan bermain dengan bebas di posisi mana yang saya mahu dan memainkan peranan untuk pasukan bermain sebagai satu kumpulan.”

Faiq bersama Skuad Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ketika berlepas ke Kemboja untuk menyertai Kejohanan Piala Suzuki AFF 2016.
Faiq bersama Skuad Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ketika berlepas ke Kemboja untuk menyertai Kejohanan Piala Suzuki AFF 2016.

Beliau dan kontinjen seramai 31 orang terdiri daripada lapan orang pegawai dan 23 pemain yang diketuai oleh Pengurus Pasukan, Haji Mohd Noor bin Haji Hamid telah berlepas ke Phnom Penh, hari ini.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas bagi mengucapkan selamat belayar ialah Pemangku Timbalan Presiden NFABD, Haji Madli bin Haji Mohd Yusof, Pemangku Setiausaha Agong NFABD, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dan beberapa orang ExCo serta Pegawai NFABD.

Pada kejohanan yang akan berlangsung dari 15 hingga 21 Oktober itu, Negara Brunei Darussalam akan bersaing dengan tiga pasukan lain pada peringkat kumpulan iaitu tuan rumah Kemboja, Laos dan Timor-Leste.

Skuad kebangsaan yang terdiri daripada pemain muda dan veteran dari usia semuda 18 tahun sehinggalah 36 tahun diketuai oleh Ketua Pasukan, Rosmin bin Haji Mohd Kamis yang akan bermain di bahagian tengah dan Penolong Ketua Pasukan, Muhammad Shah Razen bin Said yang bermain di posisi penyerang.

Penjaga gawang pula menampilkan penjaga gol berpengalaman DPMM FC, Mohd Wardun bin Yussof, Mohd Tarmizi bin Haji Mat Johari dan Awangku Mu’izzuddin bin Pengiran Haji Ismail.

Pertahanan Tabuan pula dibarisi oleh Haji Mohd Yussof bin Haji Matyassin, Muhammad Hanif bin Hamir, Mohd Khairil Shahme bin Suhaimi, Muhd ‘Afi bin Aminuddin, Azwan bin Muhamad Saleh, Awangku Yura Indera Putera bin Pengiran Yunos dan Awangku Mohammad Fakharrazi bin Pengiran Haji Hassan.

Sementara bahagian tengah pula diisi oleh Mohd Asnawi Syazni bin Abdul Aziz, Muhd Nur Ikhmal bin Damit, Hairol Azaman Shah bin Abdullah, Muhammad Shafie bin Haji Muhammad Effendy, Abdul Khair bin Haji Basri, Mohammad Najib bin Haji Tarif, Muhammad Maududi Hilmi Kasmi dan Faiq Jefri Bolkiah.

Jentera serangan pula dibarisi oleh Adi bin Said, Abdul Azizi bin Ali Rahman dan Razimie bin Ramli.

ARTIKEL YANG SAMA