Faiz raih ins...

Faiz raih insentif berjumlah RM150,000

SEPANG, 12 Jan – Mohd Faiz Subri menerima insentif keseluruhan berjumlah RM150,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan kejayaan pemain Pulau Pinang itu memenangi Anugerah Puskas FIFA 2016 di Zurich, Switzerland.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata insentif sebanyak RM100,000 daripada KBS itu merupakan satu pembakar semangat kepada pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu untuk terus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

“Bagi pihak kerajaan, saya mengucapkan ribuan tahniah kepada Mohd Faiz atas kemenangan yang luar biasa ini. Ini adalah kemenangan pertama Malaysia di peringkat dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penghargaan sebaik menyambut ketibaan Mohd Faiz di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama isterinya, Norzawanis Hashim, 29 dan dua orang anaknya Akif Fayyad, 4, dan Aqil Zayyan, 8 bulan, di sini.

Mohd Faiz Subri, bersama anak lelakinya, ketika selamat mendarat di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang kelmarin. – AFP
Mohd Faiz Subri, bersama anak lelakinya, ketika selamat mendarat di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang kelmarin. – AFP

Dalam pada itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah, yang turut mengiringi Mohd Faiz ke Zurich, memaklumkan insentif sebanyak RM50,000 yang diberikan FAM merupakan pengiktirafan badan induk itu terhadap Mohd Faiz yang membantu menaikkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Dalam perkembangan sama, Afandi tidak menolak kemungkinan untuk memperkenalkan kategori anugerah jaringan tercantik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK).

Beliau, bagaimanapun, memaklumkan perkara berkenaan akan dibincangkan dengan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) yang merupakan pentadbir utama Liga Malaysia dan penganjur bersama ABK.

Mohd Faiz turut menerima sijil pengiktirafan daripada Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records, Christopher Hw Wong selepas menjadi rakyat Malaysia pertama mendapat anugerah daripada FIFA. – Bernama