Fakhrul Razi wakili negara ke Konsert China-ASEAN

Fakhrul Razi wakili negara ke Konsert China-ASEAN

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan bersama-sama negara anggota ASEAN yang lain untuk menonjolkan budaya dan lagu-lagu pilihan hasil ciptaan pencipta lagu tempatan yang dipilih oleh pihak penganjur menerusi Konsert Persahabatan China-ASEAN 2016 yang akan berlangsung di Hainan, China pada 14 Oktober nanti.

Sehubungan dengan itu, Radio Televisyen Brunei (RTB), hari ini, menghantar seorang artis negara iaitu Fakhrul Razi bagi mempersembahkan lagu ciptaannya sendiri, Senyuman Gelapmu, semasa konsert persahabatan berkenaan.

Konsert yang membawa tema ‘Cinta dan Persahabatan’ itu merupakan anjuran bersama Radio Antarabangsa China (CRI), Radio dan Televisyen Wilayah Hainan serta Jabatan Pentadbiran Akhbar, Penerbitan, Radio dan Televisyen Wilayah Guangxi.

Sebelas buah negara terdiri daripada negara-negara anggota ASEAN serta China akan menghantar artis masing-masing untuk menyanyikan lagu-lagu yang dipilih oleh pihak CRI sebagai tanda persahabatan dan penghormatan China kepada seni muzik ASEAN.

Fakhrul Razi ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebelum berlepas ke China, menyatakan kepada Media Permata, bahawa beliau amat gembira dan bersyukur kerana telah dipilih untuk mewakili negara untuk mempersembahkan sebuah lagu yang amat bermakna baginya serta akan dapat menyerlahkan lagi bakat dan budaya masyarakat Brunei.

Fakhrul Razi akan mendendangkan lagu ciptaannya, Senyuman Gelapmu, semasa Konsert Persahabatan ASEAN-China 2016 yang akan berlangsung di Hainan, China pada 14 Oktober nanti.
Fakhrul Razi akan mendendangkan lagu ciptaannya, Senyuman Gelapmu, semasa Konsert Persahabatan ASEAN-China 2016 yang akan berlangsung di Hainan, China pada 14 Oktober nanti.

Beliau bertekad untuk memberikan persembahan yang terbaik semasa konsert itu nanti dan yakin dapat membawakan lagu berkenaan dengan penuh perasaan serta menyampaikan mesej lagu berkenaan kepada para penonton.

Beliau akui bahawa ia merupakan satu cabaran untuk menyampaikan lagu dalam Bahasa Melayu kepada penonton di China tetapi yakin kekuatan dan emosi yang tersirat dalam lagu itu, mampu untuk menambat hati penonton.

Konsert itu dihasratkan untuk meningkatkan persefahaman antara rakyat China dan negara-negara ASEAN, membangkitkan rasa mesra bagi khalayak ramai terhadap budaya masing-masing, dan menghebahkan persahabatan dan keharmonian bagi rantau ini.

Sebagai hasil perbincangan dan kerjasama dengan pihak RTB, lagu Senyuman Gelapmu telah dipilih sebagai lagu yang mewakili Negara Brunei Darussalam, berdasarkan lirik dan alunan muziknya yang mencerminkan tentang cinta dan kerinduan kepada seorang insan iaitu ibu.

Pihak CRI berpendapat lagu itu harus diketengahkan kepada masyarakat di China.

Konsert itu nanti akan mengetengahkan artis-artis ASEAN yang turut mewakili negara masing-masing iaitu Cakra Khan dari Indonesia, Eryn dari Malaysia, Aok Sokunkanha dari Kemboja, Athisak Ratanavong dari Laos, ChanChan dari Myanmar, Josephine Constantino Asuncion dari Filipina, Tay Ke Wei dan Alfred Sim Chee Hao dari Singapura, Noona dari Thailand serta Hoang Le Quyen dari Vietnam.

ARTIKEL YANG SAMA