Faktor budaya tarik pelancong China ke M’sia

Faktor budaya tarik pelancong China ke M’sia

BEIJING, 3 Mac (Bernama) – Sikap ramah dan berbudi bahasa serta bahasa pertuturan yang serupa adalah antara kelebihan Malaysia dalam usaha menarik pelancong China, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata negara jiran turut menawarkan produk pelancongan yang hampir sama dengan Malaysia seperti makanan, pemandangan laut dan budaya, tetapi kelebihan Malaysia adalah bahasa Mandarin yang difahami orang tempatan.

Katanya kelebihan rakyat Malaysia bukan sahaja dalam fasih berbahasa Mandarin tetapi dialek Kantonis, Teochew dan Hokien turut difahami penduduk tempatan dari Perlis hingga Sabah dan Sarawak.

“Faktor itu menyebabkan mereka (pelancong China) mudah melawat Malaysia kerana mereka tidak fasih berbahasa Inggeris. Bahasa Mandarin bukan sahaja difahami rakyat Malaysia setempat tetapi seluruh negara,” katanya selepas majlis ramah mesra bersama penuntut Malaysia di Beijing. Mohamed Nazri berkata cuaca menarik dan nilai ringgit yang rendah turut menjadi faktor.

Katanya sektor pelancongan sangat penting untuk Malaysia, dan China merupakan sasaran kerajaan, justeru itu pelaksanaan e-visa bagi memudahkan kedatangan mereka. Mohamed Nazri berkata promosi pelancongan bukan sahaja tertumpu kepada bandar-bandar utama seperti Beijing, Shanghai dan Guangzhou tetapi juga kepada bandar raya peringkat kedua dan ketiga seperti Chengdu.

ARTIKEL YANG SAMA