Faktor luaran dijangka pengaruhi pasaran ekuiti

Faktor luaran dijangka pengaruhi pasaran ekuiti

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Peningkatan kebimbangan terhadap hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dan Bank of Japan’s (BoJ) ditambah dengan rali sebelum bajet dijangka menyebabkan pasaran tidak menentu, dengan Bursa Malaysia diunjur mencatatkan dagangan berhati-hati minggu ini.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata ketiga-tiga faktor ini dijangka menyebabkan prestasi turun naik dalam pasaran.

“Bagaimanapun, saya menjangkakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengekalkan kadar faedah tidak berubah dan bagi BoJ, mereka mungkin tidak mengumumkan sebarang rangsangan baharu,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata bursa tempatan dijangka berlegar antara 1,650 dan 1,660 mata dalam tempoh terdekat ini.

Mengenai Bajet 2017 negara, khabar angin dan desas-desus pasaran juga akan mempengaruhi pasaran kerana banyak pihak yang akan memantau maklum balas daripada segala cadangan yang diusulkan, kata Nazri.

Pasaran ditutup pada Isnin dan Jumaat masing-masing sempena cuti Hari Raya Aidiladha dan Hari Malaysia.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI turun 33.45 mata kepada 1,652.99.

Indeks petunjuk pasaran itu mencecah paras terendah dalam tempoh lima minggu pada 1,661.39 Rabu lepas, dipengaruhi sentimen lemah apabila kebanyakan peniaga tidak memasuki pasaran berikutan bercuti.

Bagi asas mingguan, Indeks FBM Emas turun 186.48 mata kepada 11,674.44, Indeks FBMT 100 susut 183.56 mata kepada 11,379.44 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 178.69 mata kepada 12,327.23.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 294.37 mata kepada 14,216.88 manakala Indeks Perusahaan susut 52.47 mata kepada 3,099.23.

Indeks Perladangan juga jatuh sebanyak 41.91 mata kepada 7,846.61.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 4.09 bilion unit bernilai RM5.65 bilion, daripada 7.89 bilion unit bernilai RM7.49 bilion yang dicatatkan minggu sebelumnya. Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.78 bilion saham bernilai RM5.43 bilion, daripada 4.61 bilion saham bernilai RM7.03 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran turun kepada 639.56 juta saham bernilai RM123.05 juta, daripada 1.26 bilion unit bernilai RM187.66 juta. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA