Faktor penyebab banjir perlu diatasi

Faktor penyebab banjir perlu diatasi

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 21 Dis – Musim hujan yang membasahi Negara Brunei Darussalam ketika di musim tengkujuh ini adalah perkara biasa bagi penduduk-penduduk yang tinggal di sepanjang Jalan Ban 3, 4, 5 dan 6. Bagi mereka yang mengalaminya tahun demi tahun tahu akan kesan banjir yang menimpa akan memberi kesan kepada tempat tinggal mereka.

Namun keluhan salah seorang penduduk yang tinggal di kawasan perumahan di Jalan Ban 4 yang tidak ingin dikenali berkata, kawasan rumahnya tidak pernah dibanjiri air kecuali sekali sahaja semasa banjir besar melanda pada tahun sekitar tahun 2009.

Akan tetapi beliau berkata lagi apabila ‘Storm Drain’ (sistem perparitan yang besar) tersebut yang menghubungkan ke Sungai Mulaut di buka, beliau berpendapat banjir yang melanda kawasan rumahnya baru-baru ini lebih teruk dari banjir besar yang berlaku beberapa tahun yang lepas.

Beliau berkata rumah beliau dinaiki air yang mencecah ke paras lutut sehingga naik mencecah 2 kaki lebih pada malam baru-baru ini sehinggakan terpaksa menutup celah-celah pintu rumah dengan ‘plaster sand’ dan sebagainya untuk menghalang lebih banyak air daripada memasuki rumah beliau.

“Beberapa tahun yang lalu saya masih ingat melihat kerja-kerja yang dilakukan oleh pihak kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan dalam mengubahsuai dan membesarkan sistem perparitan agar ianya lebih besar dan mampu untuk menangani air banjir dari melanda ke rumah-rumah berdekatan di sepanjang jalan dari Jalan Ban 3 hingga 6,” beliau berkata.

Keadaan banjir yang melanda sebuah rumah di Kampung Mulaut.
Keadaan banjir yang melanda sebuah rumah di Kampung Mulaut.
Keadaan dalam sebuah rumah di kampung tersebut yang dimasuki air.
Keadaan dalam sebuah rumah di kampung tersebut yang dimasuki air.

Beliau menambah bahawa pembaikan tersebut sepatutnya membantu meringankan beban akibat kesan yang dibawa oleh banjir namun sebaliknya situasi tersebut semakin teruk lagi.

Apabila ditanya jika kawasan perumahan lain di sepanjang Jalan Ban 3, 5 dan 6 juga yang dilanda terjejas, beliau menjawab beliau tidak tahu setakat atau sejauh mana kesan banjir yang melanda, akan tetapi di sepanjang Jalan Ban 4 kesan banjir sememangnya ada dan meluahkan kebimbangan beliau dan para penduduk di Ban 4 kepada wartawan Media Permata.

Menurutnya, apa yang beliau paling bimbangkan adalah mengenai binatang ular yang ternampak berenang di depan kawasan rumah beliau pada satu masa yang lalu

Beliau juga meluahkan kemusykilan bagaimana banjir tahun ini boleh menjadi lebih teruk dan bertanya jika saluran perparitan yang menghubungkan ‘Storm Drain’ ke Sungai Mulaut yang berdekatan tidak dibuka ataupun tidak disiapkan sepenuhnya.

Beliau sangat berharap pihak berkenaan yang berwajib akan dapat memeriksa dan menyiasat punca isu tersebut.

Dalam hal yang berkaitan, seorang pemandu Dayang Norhashimah binti Haji Kamis yang tinggal di Kampung Bebatik juga mengatakan beliau selalu menggunakan Jalan Mulaut dan mendapati walaupun sistem perparitan di sana sudah ditambahbaik, masih terdapat kawasan rendah yang terkena banjir mencecah paras lutut dan memberitahu kawasan-kawasan seperti dari Surau Mulaut hingga ke motel berdekatan dengan trafik simpang empat mudah dibanjiri air menyebabkan kebanyakan kereta susah untuk melaluinya dan terpaksa menunggu di tepi jalan sehingga keadaan reda dan selamat untuk dilalui.

ARTIKEL YANG SAMA