Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS wujud E-Buletin, TSC

KOTA KINABALU, 6 Dis – Fakulti Psikologi dan Pendidikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mewujudkan e-Buletin dan pusat perkhidmatan TESL (Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua) (TSC) untuk memudahkan penyaluran maklumat kepada masyarakat luar.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkata dengan adanya e-Buletin itu, semua maklumat tentang kecemerlangan fakulti berkenaan dapat disalurkan secara dalam talian dan lebih pantas.

“Saya percaya dengan penyaluran maklumat yang mudah ini, masyarakat luar akan lebih teraspirasi dengan fakulti itu secara umum.

“Manakala dengan kemudahan TSC pula pelajar dapat menyumbangkan ilmu yang mereka peroleh dalam bidang TESL kepada masyarakat, sekali gus memperkasakan kompetensi mereka dalam penggunaan bahasa Inggeris,” katanya pada majlis pelancaran pusat itu hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Shahril Ysof.

Sementara itu, pada majlis sama Fakulti Psikologi dan Pendidikan, melalui Unit Penyelidikan dan Kesihatan Sosial telah melancarkan Jurnal Psikologi dan Kesihatan Sosial (JPsiKS).

D Kamarudin berkata penerbitan jurnal merupakan penanda aras bahawa Unit Penyelidikan dan Kesihatan Sosial yang diwujudkan sejak 2000 itu telah mencapai satu tahap yang lebih baik serta mampu menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi. – Bernama