Falcao mahu balas jasa Mourinho

Falcao mahu balas jasa Mourinho

NEW YORK, 27 Julai (Agensi) – Penyerang kebangsaan Colombia, Radamel Falcao menyasarkan takhta Liga Perdana England bersama Chelsea menjelang musim baharu nanti.

Falcao mengakui dia sangat berterima kasih kepada Jose Mourinho kerana memberinya peluang menyertai Chelsea dan dia tidak sabar untuk menjulang trofi liga musim ini selepas dibawa masuk secara pinjaman.

Falcao yang mengharungi detik suram bersama Manchester United musim lepas berazam mahu membalas kepercayaan yang ditunjukkan Mourinho terhadap kemampuannya merobek gawang lawan.

“Dia (Mourinho) ada menghantar mesej kepada saya dengan memberikan sokongan serta percaya dengan kemampuan saya. Oleh sebab itu, saya sangat bersyukur dan akan berikan 100 peratus komitmen kepada pasukan.

Marquinhosvies dari PSG bersaing dengan Radamel Falcao dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa di Charlotte, Carolina Utara kelmarin. - AFP
Marquinhosvies dari PSG bersaing dengan Radamel Falcao dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa di Charlotte, Carolina Utara kelmarin. – AFP

“Saya mencabar diri saya untuk terus beraksi dalam Liga Perdana England dan saya sukakan cabaran ini kerana saya mahu berjaya bersama Chelsea. Saya mahu memenangi liga serta menjadi pemain penting untuk pasukan,” kata Falcao yang hanya menjaringkan empat gol bersama United musim lepas.

Penyerang yang diberi jolokan el Tigre itu juga teruja untuk kembali membentuk gandingan bersama Costa yang pernah menjadi rakan sepasukannya ketika bersama Atletico Madrid.

“Kami pernah bermain bersama, musim 2012-13 merupakan kempen yang cukup hebat buat Atletico kerana kami menjaringkan banyak gol. Kami merupakan penyerang yang memiliki perbezaan dan melengkapi satu sama lain,” ujar Falcao lagi.