Falcon juarai Cabaran STEM dan Inovatif Reka Bentuk

Falcon juarai Cabaran STEM dan Inovatif Reka Bentuk

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Pasukan Falcon dari Sekolah Menengah Tanjong Maya muncul juara, sekali gus dipilih sebagai juara keseluruhan bagi Cabaran STEM dan Inovatif Reka Bentuk serta menerima hadiah mereka pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabaran STEM dan Inovasi Reka Bentuk Peringkat Kebangsaan ke-2 yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Universiti Teknologi Brunei, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang serta sijil penghargaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, setiausaha tetap, naib canselor dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan.

Selain daripada dinobatkan juara dan juara keseluruhan pertandingan itu, Pasukan Falcon turut dianugerahkan sebagai pemenang masa reaksi terbaik dan pemenang kereta terpantas.

Sementara itu, tempat kedua dalam cabaran berkenaan dimenangi oleh Pasukan Super Legerra dari Sekolah Menengah Berakas yang mana pasukan itu turut dianugerahkan sebagai pemenang kedatangan terbaik.

Pasukan Falcon, pemenang tempat pertama dan juara keseluruhan cabaran bergambar ramai dengan Yang Berhormat Pehin.
Pasukan Falcon, pemenang tempat pertama dan juara keseluruhan cabaran bergambar ramai dengan Yang Berhormat Pehin.
Pasukan Super Legerra, pemenang tempat kedua cabaran bergambar ramai dengan Yang Berhormat Pehin.
Pasukan Super Legerra, pemenang tempat kedua cabaran bergambar ramai dengan Yang Berhormat Pehin.
Pasukan Speed Crown, pemenang tempat ketiga cabaran bergambar ramai dengan Yang Berhormat Pehin.
Pasukan Speed Crown, pemenang tempat ketiga cabaran bergambar ramai dengan Yang Berhormat Pehin.

Menduduki tempat ketiga ialah Pasukan Speed Crown dari Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Mentiri yang turut dianugerahkan sebagai pemenang kereta yang dibina (engineered) terbaik.

Selain daripada tiga pasukan berkenaan, Pasukan Rimba II Speedster dari Sekolah Menengah Rimba II telah dianugerahkan sebagai pemenang pasukan berpakaian terbaik, petak pameran terbaik dan semangat kesukanan terbaik.

Satu lagi pasukan iaitu Pasukan Elysian Vibe dari Sekolah Menengah Rimba telah dianugerahkan sebagai pemenang pembentangan terbaik.

Terdahulu sebelum penyampaian hadiah kepada para pemenang, Pengarah Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa Cabaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik) dan Inovatif Reka Bentuk Peringkat Kebangsaan ke-2 dilaksanakan dengan jayanya hasil kerjasama Jabatan Perkembangan Kurikulum melalui Unit Pengajian Teknologi dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).

Haji Abdul Rahman menyampaikan kata alu-aluannya.
Haji Abdul Rahman menyampaikan kata alu-aluannya.

Kerjasama itu merupakan salah satu strategi untuk meningkatkan kualiti dan kerelevanan dalam mengendalikan pertandingan seumpama itu serta langkah ke hadapan bagi meningkatkan inovasi dalam kalangan pelajar.

Haji Abdul Rahman menambah, bagi mengukuhkan lagi bidang kerjasama itu, Jabatan Perancangan Kurikulum dan UTB merancang untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) sebagai penggalak dan pendorong untuk meningkatkan kerjasama yang telah sedia terjalin secara berterusan.

“Kerjasama di peringkat nasional ini dihasratkan memberi nilai tambah kepada pelajar dan guru, untuk mempelajari serta mengetahui dengan lebih cepat bagaimana mengembangkan bidang sains, teknologi dan bidang-bidang lain yang berkaitan.”

Sementara itu, mengulas mengenai cabaran itu, Haji Abdul Rahman berkata bahawa bagi 2016, sebanyak 11 buah sekolah menengah dan sebuah dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah mengambil bahagian, yang mana penyertaan itu memberikan gambaran yang baik terhadap usaha kementerian untuk membudayakan inovasi dalam kalangan pelajar selaras dengan Wawasan 2035.

Yang Berhormat Pehin dan Timbalan Menteri Pendidikan tidak melepaskan peluang untuk sama-sama melepaskan kereta lumba dalam cabaran berkenaan.
Yang Berhormat Pehin dan Timbalan Menteri Pendidikan tidak melepaskan peluang untuk sama-sama melepaskan kereta lumba dalam cabaran berkenaan.
Yang Berhormat Pehin diberikan penerangan dan melawat petak pameran bagi pasukan-pasukan yang mengambil bahagian dalam cabaran berkenaan.
Yang Berhormat Pehin diberikan penerangan dan melawat petak pameran bagi pasukan-pasukan yang mengambil bahagian dalam cabaran berkenaan.
Yang Berhormat Pehin menyaksikan aksi perlumbaan daripada para peserta cabaran.
Yang Berhormat Pehin menyaksikan aksi perlumbaan daripada para peserta cabaran.

Beliau turut berkata bahawa cabaran itu diadakan bertujuan untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik dan menyeronokkan, mengubah persepsi pelajar terhadap mata pelajaran STEM, meningkatkan daya kreativiti, perkembangan minda, penyelesaian masalah dan inovasi pelajar.

Di samping itu, ulasnya lagi, ia juga memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai kerjaya dalam bidang-bidang kejuruteraan dan pemasaran.

“Dengan erti kata lain, inisiatif ini adalah bagi menyediakan landasan kepada para pelajar untuk mempamerkan hasil reka bentuk dan inovasi mereka, yang setentunya mempunyai impak yang signifikan ke arah pembangunan sosioekonomi negara.”

Pertandingan Cabaran STEM dan Inovatif Reka Bentuk ke-2 itu diadakan selama dua hari, bermula pada 30 Ogos iaitu pusingan awal pertandingan dan berakhir pada 31 Ogos iaitu pusingan akhir pertandingan bagi tiga pasukan terbaik.

ARTIKEL YANG SAMA