FAM bakal kena hukuman berat

FAM bakal kena hukuman berat

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Badan induk bola sepak Malaysia dijangka berdepan hukuman berat selepas penonton membaling suar ke padang yang memaksa aksi Malaysia-Arab Saudi di Stadium Shah Alam malam tadi, dihentikan.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa yang mengulas insiden itu berkata badan bola sepak berkenaan “sangat mengambil berat” dan menyokong sebarang siasatan dilakukan oleh FIFA.

“AFC sangat kecewa dengan kekecohan yang berlaku pada Selasa itu dan menekankan betapa ia sangat mengambil serius terhadap kekecohan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini menunggu keputusan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung kekecohan memalukan Malaysia pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 itu.

Minggu lalu, FAM dibelasah teruk oleh penyokong dan kerajaan selepas skuad bola sepak negara itu kalah 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi pada Khamis lepas.

Gambar yang dirakam pada 8 September  2015 menunjukkan keadaan di padang selepas penonton membaling suar ke padang yang memaksa aksi Malaysia-Arab Saudi di Stadium Shah Alam malam tadi, dihentikan. – AFP
Gambar yang dirakam pada 8 September 2015 menunjukkan keadaan di padang selepas penonton membaling suar ke padang yang memaksa aksi Malaysia-Arab Saudi di Stadium Shah Alam malam tadi, dihentikan. – AFP

Penonton bertindak ganas membaling suar berwarna oren ke padang di Stadium Shah Alam, ketika Malaysia ketinggalan 2-1 di belakang Arab Saudi ketika saingan berbaki dua minit, dipercayai gara-gara kecewa dengan kekalahan berkenaan.

Kekecohan itu menyebabkan semua pemain dari kedua-dua pasukan bersama pegawai mereka melarikan diri ke bilik persalinan untuk menyelamatkan diri dari terkena suar yang terbang di sekeliling stadium.

Seramai 11 orang ditahan sejurus selepas insiden berkenaan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA