FAM balas surat tunjuk sebab Pesuruhjaya Sukan

FAM balas surat tunjuk sebab Pesuruhjaya Sukan

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah membalas Surat Tunjuk Sebab daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) berhubung kekecohan ketika perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Asia 2019 bertemu Arab Saudi.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan penerimaan surat berkenaan pada pukul 3.30 petang hari ini.

Namun beliau tidak dapat mendedahkan isi kandungan surat berkenaan kerana belum melihat isi kandungan surat itu kerana menghadiri sidang Parlimen Belia Malaysia (PBM) di Dewan Rakyat hari ini.

“Saya difahamkan surat tunjuk sebab telah dihantar kepada PJS Datuk Zaiton Othman dan saya biarkan beliau sendiri membaca isi kandungan surat tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menggulung perbahasan persidangan ketiga PBM.

Insiden kekecohan di Stadium Shah Alam pada 8 September lepas. – Bernama
Insiden kekecohan di Stadium Shah Alam pada 8 September lepas. – Bernama

FAM diberi tempoh 14 hari bermula 9 Sept lepas untuk membalas Surat Tunjuk Sebab kepada PJS berhubung kekecohan pada 8 Sept lepas.

Arahan yang dikeluarkan Khairy itu turut menyatakan kegagalan menjawab surat terbabit dalam tempoh ditentukan atau tidak memuaskan akan membawa kepada risiko penggantungan badan induk itu oleh PJS.

Perlawanan antara Malaysia dan Arab Saudi terpaksa dihentikan pengadil perlawanan Liu Kwok Man dari Hong Kong pada minit ke-88 selepas segelintir penyokong dipercayai “Ultras Malaya” bertindak liar dengan membakar suar dan membaling mercun roket ke dalam padang.