FAM belum cadang guna padang sintetik

FAM belum cadang guna padang sintetik

KUANTAN, 20 Ogos – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum bercadang menggunakan padang rumput sintetik untuk perlawanan Liga Malaysia berikutan masalah kekurangan peruntukan serta tanah.

Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengakui penggunaan padang sintetik lebih lancar termasuk perlawanan bola sepak tidak terganggu sekiranya hujan lebat dan kerja-kerja penyelenggaraan juga lebih mudah.

“Namun, dari segi pertandingan, kita masih memerlukan padang rumput biasa…ikut keperluan. Yang pastinya kita masih perlu banyak padang tidak kira padang rumput biasa atau padang sintetik,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau perkembangan padang sintetik yang dibina di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 2 di sini, Isnin. Tengku Abdullah berpuas hati kerana projek yang baharu dibina oleh Kementerian Kewangan (MOF) itu mengikut piawaian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Ini satu projek baharu yang dibina oleh Kementerian Kewangan, kita berterima kasih kepada kerajaan dan saya percaya pembinaan padang seumpama ini akan diperluaskan di setiap pelusuk negara,” titah baginda.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Zulkifli Yaacob berkata MOF telah memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta bagi membina padang sintetik yang berkeluasan 8,214 meter persegi itu. – Bernama