FAM diarah tingkatkan SOP keselamatan

FAM diarah tingkatkan SOP keselamatan

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh menarik nafas lega kerana tiada tindakan tegas dikenakan ke atas persatuan berkenaan, sebaliknya badan induk bola sepak negara itu diarah mengambil tindakan segera menambah baik sistem kawalan dan keselamatan stadium.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan hari ini, mengesahkan pihaknya menerima surat daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia Datuk Zaiton Othman pada Jumaat lepas, berhubung tindakan di atas insiden kekecohan penonton ketika perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, 8 Sept lepas.

Hamidin berkata Pesuruhjaya Sukan dalam surat berkenaan menegaskan FAM bertanggungjawab sepenuhnya atas insiden itu, dan berpandangan masih terdapat kelemahan yang boleh ditambah baik oleh FAM dalam usaha menangani isu-isu dan permasalahan tersebut.

Berikutan itu, Pesuruhjaya Sukan meminta agar FAM mengambil tindakan segera terhadap tiga perkara iaitu mengetatkan peraturan sedia ada supaya lebih kemas dan teratur dengan mewujudkan tatacara kaedah pengurusan penonton, bersama-sama pihak pengurusan stadium.

Pesuruhjaya Sukan juga meminta FAM memperkemas dan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dengan lebih terperinci untuk jaminan keselamatan yang baik dan efisien.