FAM diberi kata dua

FAM diberi kata dua

KUALA TERENGGANU, 6 Sept (Bernama) – “Lakukan perubahan segera kepada skuad negara atau hadapi kemungkinan digantung.”

Itu amaran Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas bosan dengan aksi longlai skuad Harimau Malaya yang mencapai kemuncaknya dengan kekalahan 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019, Khamis lepas.

“Kita ada banyak tindakan yang boleh diambil. Walaupun saya tak nak tapi di bawah Akta Pembangunan Sukan, menteri mempunyai kuasa untuk ambil langkah drastik seperti di Indonesia iaitu menggantung FAM,” katanya.

Beliau berkata demiikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Fit Malaysia 2015 di Dataran Batu Buruk di sini, Sabtu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat dan Ketua Pemuda Umno Terengganu, Johari Abu Bakar yang menyaksikan lebih 20,000 orang menyertai program itu. Bagaimanapun, Khairy berharap FAM mempunyai rancangan dan mengambil langkah segera mengubah nasib bola sepak negara, tanpa memaksanya melaksanakan penggantungan itu.

Penyerang UAE Ali Ahmed Mabkhout (kiri) menjaringkan gol ketika menentang Malaysia dalam aksi kelayakan AFC untuk Piala Dunia 2018 Abu Dhabi, 3 September lalu. – AFP
Penyerang UAE Ali Ahmed Mabkhout (kiri) menjaringkan gol ketika menentang Malaysia dalam aksi kelayakan AFC untuk Piala Dunia 2018 Abu Dhabi, 3 September lalu. – AFP

“Saya tak nak sampai terpaksa ambil tindakan seperti itu kerana penggantungan akan menyebabkan FAM dan juga Malaysia dikenakan tindakan di peringkat antarabangsa.

“Tetapi sekiranya FAM tak ada apa-apa perancangan dan masih lagi buat-buat tak tahu, saya harus pertimbangkan langkah lebih drastik ini,” katanya.

Sehubungan itu, Khairy berkata kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan FAM mengenai rancangan perubahan itu.

Katanya penggantungan berkenaan menjadi jalan terakhir kerana jika itu berlaku ia boleh menjejaskan penyertaan skuad negara di peringkat antarabangsa, lebih-lebih lagi Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017.

Ditanya sama ada kesemua pimpinan FAM perlu meletak jawatan sekiranya skuad kebangsaan terus mengalami kekalahan memalukan dalam perlawanan menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam pada Selasa depan, Khairy menegaskan ia terserah kepada pengurusan FAM.

“Tapi, bagi saya apabila dah diberi masa yang cukup lama dan masih lagi tak ada apa-apa perubahan, saya pohon Presiden FAM untuk muhasabah diri dan buat sesuatu terutama kepada pegawai di sekelilingnya sebab saya lihat tak ada sinar di hujung terowong untuk FAM,” katanya.