Fama galak penanam pisang Saba daftar skim Ladang Kontrak

Fama galak penanam pisang Saba daftar skim Ladang Kontrak

KOTA KINABALU, 29 Ogos – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menggalakkan penanam pisang Saba di negeri ini untuk mendaftar dengan program Ladang Kontrak agensi itu bagi memudahkan urusan pengawalan kualiti dan harga pisang Saba di pasaran.

Pengarah FAMA Sabah, Ribin Wahid berkata pendaftaran itu juga akan membolehkan FAMA memantau pengeluaran komoditi itu dari aspek penyakit tanaman serta keselamatannya kepada pengguna termasuk pengimport.

“Sekiranya petani mendaftar, kita (FAMA) boleh kenal pasti pemilik tanaman dan memastikan penggunaan benih komoditi-komoditi itu diluluskan oleh pihak Jabatan Pertanian atau sebaliknya supaya produk ini diurus dengan teratur.

“Dengan mengenal pasti pemilik dan tanaman petani, FAMA dan agensi-agensi berkaitan akan bekerjasama dalam memberikan latihan dan penerangan kepada penanam untuk mendapatkan hasil berkualiti bagi pasaran eksport,” katanya kepada Bernama.

Mengulas mengenai kejadian lebihan bekalan pisang pada bulan lalu, Ribin berkata keadaan itu timbul berikutan berlaku pengeluaran serentak komoditi itu pada musim Aidilfitri sehingga mencecah 90 tan metrik dua minggu berturut-turut, berbanding permintaan iaitu 30 tan metrik.

“Lebihan ini telah mengakibatkan harga pisang jatuh sehingga 50 sen sekilogram. Namun, FAMA masih mampu membeli pisang keluaran petani dengan harga 60 sen sekilogram dan ke atas,” katanya.

Menurut Ribin, pendaftaran pengeluar komoditi berkenaan juga boleh membantu FAMA mendapat maklumat tentang keluasan dan jumlah pisang yang boleh dihasilkan sekaligus membantu FAMA mengawal pengeluaran pisang Saba.

Katanya FAMA juga akan menggalakkan petani untuk membuat kerepek pisang sebagai alternatif jangka panjang di negeri ini dalam usaha menangani lebihan bekalan pisang Saba. – Bernama