FAMA sasar jualan ABR1M RM150 juta

JASIN, 23 Feb – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan Agrobazaar Rakyat 1 Malaysia (ABR1M) di seluruh negara mencecah lebih RM150 juta sehingga akhir tahun ini.

Pengarah Bahagian (Peruncitan) FAMA Abd Rahman Mahmood berkata sasaran tersebut bersandarkan kepada penyertaan menggalakkan daripada usahawan sektor peruncitan selain hasrat kerajaan yang mahu mengembangkan industri berkenaan.

“Tahun lepas, nilai jualan bagi 108 ABR1M di seluruh negara berjumlah lebih RM143.42 juta yang mana ini merupakan pencapaian memberangsangkan selain memberi impak positif kepada golongan usahawan peruncitan.

“Tahun ini kita akan menambah 14 lagi ABR1M iaitu sekurang-kurangnya sebuah ABR1M di satu negeri bermula Mac ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Jualan Jimat Belanja Dapur (JBD), ABR1M Peringkat Negeri Melaka, hari ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka Datuk Hasan Abd Rahman itu turut dihadiri Pengarah FAMA Melaka Che Samudin Hasan.

Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Hasan Abdul Rahman (dua, kanan), melihat bawang merah yang dijual selepas melancarkan program Jimat Belanja Dapur (JBD) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka di Agrobazaar Rakyat 1Malaysia, Kampung Parit Putat kelmarin. – Bernama

Abd Rahman berkata FAMA akan sentiasa memastikan semua ABR1M menjalankan program JBD dengan menawarkan penjimatan harga antara lima hingga 20 peratus kepada pengguna berbanding kedai runcit lain bagi 27 jenis komoditi terpilih termasuk ikan, ayam, sayur dan buah-buahan.

Sementara itu, Hasan berkata FAMA Melaka menyasarkan nilai jualan ABR1M di negeri ini mampu mencapai lebih RM3 juta sehingga akhir tahun ini berbanding RM2.32 juta pada tahun lepas.

Beliau berkata sehingga kini terdapat empat ABR1M di negeri ini iaitu tiga di daerah Melaka Tengah dan satu di daerah Jasin.

ABR1M merupakan projek menaik taraf premis runcit milik usahawan sedia ada dengan menawarkan produk makanan segar hasil pertanian yang dijual terus dari sumber pengeluaran kepada pengguna selain menjual barangan keperluan runcit harian pada harga berpatutan.

Projek berkenaan merupakan antara langkah kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat bagi bahan makanan sejajar dengan objektif Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) mentransformasikan sektor peruncitan menjelang 2020. – Bernama