Family Fun Race Ogos depan

Family Fun Race Ogos depan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – Kelab Perkhidmatan Awam, Kampung Mentiri akan menganjurkan aktiviti riadah Family Fun Race sejauh lima kilometer di sekitar kawasan Perpindahan Kampung Mentiri pada 30 Ogos 2015 bersempena sambutan Ulang Tahun ke-25 (Jubli Perak) Kelab Perkhidmatan Awam.

Sehubungan itu, orang ramai terutama mereka yang sudah berkeluarga dialu-alukan untuk menyertai aktiviti riadah itu dan berpeluang untuk mendapat tuala muka serta memenangi hadiah-hadiah menarik bagi pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga serta hadiah cabutan bertuah.

Bagi memeriahkan lagi sambutan itu, pihak penganjur juga akan mengadakan bazar jualan dan beberapa acara sampingan pada 29 dan 30 Ogos 2015.

Menurut Pengurus Kelab Perkhidmatan Awam, Awang Zamri bin Haji Mohd Yassin, perlumbaan itu akan bermula pada pukul 6 pagi bertempat di perkarangan Kelab Perkhidmatan Awam, Kampung Mentiri dan akan meliputi 10 check point di sekitar kawasan Perpindahan Mentiri sambil melakukan lima tugasan yang telah ditetapkan pihak penganjur.

Antara check point yang akan dilalui peserta perlumbaan ialah Kelab Perkhidmatan Awam, Simpang 16, Simpang 200, rumah ketua Kampung Mentiri, kawasan pantai, Kampung Pangkalan Sibabau dan padang golf Mentiri.

Kategori bertanding membabitkan acara Family Fun Race (tiga orang dalam satu kumpulan, dengan dua orang dewasa berumur 21 tahun ke atas dan kanak-kanak berumur antara lapan tahun ke 15 tahun) dan yuran penyertaan dikenakan sebanyak $20 seorang.

Manakala kategori tidak bertanding ialah Fun Runner lima kilometer bagi penyertaan peserta lapan tahun ke atas dengan yuran penyertaan $20 seorang.

Para peserta mesti menyudahkan tugasan di setiap check point yang telah ditetapkan sebelum Kad Biru perlumbaan dibubuh cap dan peserta juga dikehendaki mengikut giliran di mana-mana check point serta memastikan kad biru masing-masing telah dicap sebelum meneruskan perlumbaan ke tempat pemeriksaan seterusnya.

Mereka yang berminat untuk menyertai atau ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Family Fun Race 2015 boleh mendapatkan borang penyertaan di kaunter penyambut tetamu Kelab Perkhidmatan Awam, Mentiri atau di Jabatan perkhidmatan Awam, Tingkat 4, Bangunan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi terus talian 27890799 atau melalui e-mel di alamat info.kpa@psdd.gov.bn, dan tarikh tutup bagi semua pendaftaran penyertaan ialah pada pukul 4 petang 17 Ogos 2015.

ARTIKEL YANG SAMA