FARC mohon maaf, perjanjian terlaksana

FARC mohon maaf, perjanjian terlaksana

CARTAGENA, Colombia, 27 Sept – Pasukan pemberontak berhaluan kiri Colombia FARC telah menandatangani perjanjian damai bersejarah dengan kerajaan semalam dan memohon maaf kepada mangsa-mangsa yang tidak terkira banyaknya dalam perang saudara setengah abad di negara itu.

Dalam majlis penuh emosi yang diadakan di luar bangunan, Presiden Juan Manuel Santos mengalu-alukan para pemberontak komunis ke dalam lingkungan politik selepas menandatangani perjanjian dengan ketua FARC Rodrigo London, alias Timoleon “Timochenko” Jimenez.

Dengan berpakaian serba putih, kedua-dua mereka yang pernah bermusuhan itu menurunkan tandatangan dan berjabat tangan, tersenyum di hadapan hadirin yang terdiri daripada orang kenamaan antarabangsa, dengan menerima tepuk sorak kuat.

Majlis itu yang diadakan di Cartagena, bandar pantai Caribbean menyusuli proses empat tahun untuk menamatkan konflik besar bersenjata terakhir di benua Amerika itu.

Perjanjian itu akan disahkan oleh referendum dalam tempoh seminggu.

“Kami dilahirkan semula untuk melancarkan era baru perdamaian dan membina keamanan,” kata Timochenko. “Dengan nama FARC saya dengan ikhlas memohon maaf kepada semua mangsa konflik di atas segala kesakitan akibat daripada kami ketika peperangan ini.”

Pihak berkuasa Colombia menganggarkan konflik wilayah dan ideologi ini telah mengorbankan 260,000 orang, 45,000 orang hilang dan menyingkirkan 6.9 juta orang.

“Tidak disangsikan lagi bahawa kami akan mengorak langkah ke arah politik tanpa senjata. Marilah kita bersedia untuk melembutkan hati dan minda,” kata Timochenko.

Santos kemudian naik ke podium dan menyampaikan mesej kepada beribu-ribu pejuang FARC yang bersiap sedia untuk melucutkan senjata di kem hutan mereka.

“Apabila kamu mula pulang kepada masyarakat sebagai ketua negara tanah air yang kita cintai, saya mengalu-alukan kamu kepada demokrasi,” katanya lagi.

Seramai 2,500 orang tetamu berada di majlis penandatanganan itu termasuklah Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, Setiausaha Negara AS, John Kerry dan Setiausaha Negara, Vatican Pietro Parolin.

Kumpulan pemimpin negara Amerika Latin, termasuklah Presiden Cuba, Raul Castro, duduk berhampiran menyaksikan penandatanganan tersebut di pentas. – AFP