FARC serang loji bekalan air pula

FARC serang loji bekalan air pula

BOGOTA, 7 Jun (AFP) – Para pemberontak Angkatan Bersenjata Revolusioner Colombia (FARC) meletupkan loji bekalan air di barat daya Colombia, menurut pegawai-pegawai tentera semalam, dalam serangan terbaru oleh pergerakan gerila ke atas prasarana awam negara tersebut.

Pejuang-pejuang FARC “meletupkan bahan letupan berkuasa tinggi” yang memusnahkan prasarana loji bekalan air di bandar Algeciras, menjejaskan perkhidmatan kepada kira-kira 13,000 orang, menurut kenyataan tentera.

Serangan itu menyusuli dua yang lain pada minggu lepas ke atas prasarana awam Colombia, kedua-duanya menara elektrik, yang menjurus kepada gangguan bekalan elektrik besar-besaran.

Para pemberontak FARC pada Selasa lepas meletupkan menara elektrik, menyebabkan bandar Tumaco dalam keadaan kegelapan.

Dua hari sebelumnya, kumpulan gerila terbabit dikatakan bertanggungjawab ke atas serangan yang sama ke aras loji bekalan tenaga elektrik di bandar pelabuhan Buenaventura.

Serangan tersebut masih lagi berlaku meskipun FARC dan kerajaan kini masih dalam sesi rundingan damai yang sudah bermula sejak November 2012 lagi, bertujuan menamatkan perang saudara yang berlarutan sejak berdekad-dekad lepas.