FAS henti campur tangan politik

FAS henti campur tangan politik

SINGAPURA, 2 Okt (AFP) – Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) akan meminda perlembagaannya tahun depan selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menuntut supaya campur tangan politik dalam pelantikan ahli-ahli majlis badan induk itu ditamatkan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, lewat semalam, FAS menyatakan pihaknya akan bekerja rapat dengan FIFA berhubung pindaan itu yang akan “memastikan kesamarataan” dalam proses pemilihan mengikut statut badan induk dunia sukan itu.

“Kami juga akan mendapatkan persetujuan ahli persatuan dan badan gabungan memandangkan kelulusan kawal selia diperlukan untuk sebarang perubahan dalam perlembagaan,” menurutnya.

Pematuhan terhadap peraturan FIFA adalah penting bagi penyertaan Singapura dalam pertandingan di peringkat antarabangsa.

“Kami menjangkakan untuk meminda perlembagaan kami pada Mac tahun depan, dan akan membuat pengumuman pada masa yang sesuai ketika pemilihan majlis jawatankuasa,” menurut FAS.

Proses pemilihan FAS ketika ini tidak konsisten dengan peraturan yang dikeluarkan FIFA apabila adanya campur tangan kerajaan dalam persatuan bola sepak kebangsaan.

Perlembagaan FAS menetapkan semua ahli majlisnya, termasuk presiden dan timbalan presiden perlu dilantik oleh menteri Singapura yang menjaga sukan dan disahkan dengan undian pada mesyuarat agung tahunan.

Presiden FAS secara tradisionalnya dilantik daripada kalangan ahli parti pemerintah yang menradbir Singapura sejak 56 tahun lalu.

ARTIKEL YANG SAMA