Fasa I Banci Penduduk 2016 bermula hujung Julai

Fasa I Banci Penduduk 2016 bermula hujung Julai

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) akan meneruskan lagi fasa pertama Kemas Kini Banci Penduduk dan Perumahan (KBPP) 2016 bermula penghujung bulan ini.

Bagi proses berkenaan, JPKE telah melantik pegawai-pegawai banci terlatih yang ditugaskan untuk mengunjungi semua tempat kediaman di bawah pengawasan masing-masing sepanjang tempoh banci untuk mengumpulkan maklumat yang diperlukan.

Sehubungan itu, JPKE dalam kenyataannya, menasihatkan ketua atau ahli isi rumah untuk memastikan pegawai banci yang datang membuat lawatan adalah yang sah dilantik melalui pas banci, kad pintar mereka dan surat lantikan sebagai pegawai banci.

Menurut kenyataan berkenaan, KBPP 2016 bagi Negara Brunei Darussalam yang dijalankan dari Mei hingga November 2016 berobjektif untuk mengemas kini bilangan dan maklumat penduduk yang telah diperolehi semasa Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) 2011 yang meliputi ciri-ciri demografi, pendidikan dan pekerjaan; di samping mengemas kini bilangan dan senarai perumahan di seluruh negara bagi kegunaan banci dan kajian akan datang.

KBPP 2016 dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama (Mei hingga September 2016) yang dijalankan secara berperingkat-peringkat dan meliputi semua keluarga/isi rumah dan penduduk sama ada rakyat Negara Brunei Darussalam, penduduk tetap atau penduduk sementara, bagi mengemas kini maklumat ciri-ciri peribadi, peringkat pendidikan dan pekerjaan.

Gambar pengenalan diri Pegawai Banci Penduduk yang dilantik JPKE. (sebagai contoh)
Gambar pengenalan diri Pegawai Banci Penduduk yang dilantik JPKE. (sebagai contoh)

Manakala itu, fasa kedua (Oktober hingga November 2016) melibatkan kira-kira 5,000 buah keluarga/isi rumah sahaja yang telah dipilih secara rambang di beberapa buah kampung/kawasan bagi mengumpulkan maklumat yang lebih terperinci mengenai ciri-ciri tenaga kerja.

Fasa pertama telah pun mula dilaksanakan pada Mei 2016 yang lalu secara berperingkat-peringkat di kawasan/kampung di seluruh negara, yang menunjukkan respons menggalakkan daripada isi rumah/keluarga.

Dalam pada itu, JPKE turut memberitahu bahawa terdapat sebilangan daripada pegawai banci yang telah dilantik pada bulan Mei lalu, akan meneruskan kerja-kerja mengutip balik borang tanya yang belum lagi diterima daripada isi rumah.

Dengan ini, isi rumah diharap akan memberikan kerjasama dan menghubungi pegawai banci mengikut kawasan dalam mengembalikan borang tanya masing-masing.

JPKE mengambil kesempatan ini juga untuk menyeru orang ramai supaya akan dapat memberikan kerjasama kepada pegawai banci untuk memastikan KBPP 2016 ini berjalan dengan lancar.

Sebarang pertanyaan mengenai KBPP 2016 ini bolehlah dirujuk ke JPKE melalui talian 2230265 (waktu pejabat), e-mel ke population.census@jpke.gov.bn atau melayari laman web www.depd.gov.bn.