Fasa ke-2 AEC perlu kurangkan jurang pendapatan

Fasa ke-2 AEC perlu kurangkan jurang pendapatan

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) – Fasa kedua Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) perlu melibatkan penyebaran pertumbuhan dari kawasan bandar ke luar bandar dalam usaha mengurangkan jurang pendapatan, kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

“Ketika kita mula menyaksikan pertumbuhan berlaku (selama ini), sekarang kita mesti memastikan pertumbuhan yang berlaku di ASEAN itu menuju secara tepat kepada akar umbi, iaitu kawasan luar bandar,” katanya kepada pemberita di luar Forum Ekonomi Islam Dunia di sini hari ini.

Mengenai jurang antara bandar dan luar bandar, beliau berkata negara ASEAN perlu memperluas langkah pengagihan pendapatan masing-masing, sebagai contoh, melalui penyertaan dan penglibatan sektor swasta.

Dari segi Malaysia, Rafidah berkata negara perlu melihat jurang itu untuk berkembang maju, dan usaha perlu digandakan untuk mengurangkan ketaksamaan berkenaan dari segi pendapatan sebenar supaya rakyat dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik secara menyeluruh.

Bagaimanapun, paling penting, katanya, terdapat keperluan untuk mempunyai program bagi mengurangkan ketaksamaan ekonomi dan perbezaan ekonomi dalam ASEAN dan mengurangkan perbezaan ekonomi dalam sektor di setiap negara ASEAN.