Fasa kedua kaji selidik kesihatan mulut bermula 17 September

Fasa kedua kaji selidik kesihatan mulut bermula 17 September

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Perkhidmatan Pergigian, Kementerian Kesihatan sedang melaksanakan fasa kedua, Kaji Selidik Kesihatan Mulut Kebangsaan 2015-2017 untuk warga dewasa dan akan berlangsung hingga Disember ini.

Kaji selidik itu telah mula dilancarkan pada 8 Ogos 2015 dan dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pertama yang dijalankan pada Ogos hingga Disember 2015 untuk kanak-kanak dan fasa kedua untuk orang dewasa.

Penguasa Perubatan, Dr. Melissa Abdullah Sikun yang juga Pengarah Kaji Selidik Kesihatan Mulut Kebangsaan 2015-2017 berkata, bagi fasa kedua kaji selidik itu, seramai 4,000 penduduk dan penduduk tetap berusia 18 tahun ke atas di seluruh negara akan dipilih secara rambang.

Menurut beliau, kumpulan kerja kaji selidik berkenaan sedang bekerjasama dengan pakar konsultan, Australian Research Centre for Population Oral Health (ARCPOH), University of Adelaide, Australia, untuk mendapatkan bantuan, nasihat dan panduan dalam merancang serta melaksanakan kaji selidik berkenaan bagi memastikan ia mencapai piawaian undang-undang, etika dan piawaian saintifik antarabangsa.

“Kaji selidik ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kesihatan mulut dalam kalangan orang dewasa di negara ini. Maklumat ini adalah sangat penting untuk membantu dalam perancangan masa depan dalam penjagaan kesihatan mulut di Negara Brunei Darussalam,” katanya semasa sidang media mengenai Kaji Selidik Kesihatan Mulut Kebangsaan Fasa Kedua yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, hari ini.

(Dari kiri) Dr. Kok Ei Chuen, Dr. Melissa, Dr. Paulina dan Dr. Farha semasa sidang media mengenai Kaji Selidik Kesihatan Mulut Kebangsaan 2015-2017.
(Dari kiri) Dr. Kok Ei Chuen, Dr. Melissa, Dr. Paulina dan Dr. Farha semasa sidang media mengenai Kaji Selidik Kesihatan Mulut Kebangsaan 2015-2017.

Turut hadir semasa sidang media berkenaan ialah Pengurus Bersama Kaji Selidik dan Konsultan Gred 2, Dr. Kok Ei Chuen; Pengerusi Bersama Kaji Selidik dan Pegawai Pergigian Kanan, Dr. Paulina Lim serta Ketua Bersama Sekretariat dan Pakar Gigi Bersekutu, Dr. Farha @ Hanina Maidi.

Menurut Dr. Melissa, hasil kaji selidik itu akan memberi sumbangan yang signifikan kepada maklumat semasa status taraf kesihatan mulut di negara ini. Lokasi kaji selidik telah ditetapkan di hospital-hospital, pusat-pusat kesihatan dan dewan kemasyarakatan yang terpilih.

Lokasi pertama bagi kaji selidik fasa kedua ialah di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong dan Pusat Kesihatan Lamunin, yang dijadualkan diadakan pada 17 September nanti.

Peserta terpilih bagi kaji selidik berkenaan akan diberi perjanjian untuk hadir di lokasi kaji selidik yang ditetapkan untuk mengisi borang kaji selidik dan menjalani pemeriksaan pergigian.

Selepas pemeriksaan pergigian, mereka akan menerima nasihat umum mengenai kesihatan mulut mereka dan akan dimaklumkan jika ada isu-isu utama yang menjejaskan kesihatan mulut mereka yang memerlukan penilaian atau rawatan selanjutnya.

Perjanjian untuk kaji selidik itu akan diadakan pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula jam 8 pagi hingga 4:30 petang dan akan mengambil masa kira-kira sejam. Sehubungan itu, Dr. Melissa memohon kerjasama pihak majikan peserta kaji selidik yang terpilih supaya dapat memberikan kelonggaran masa untuk menghadiri perjanjian yang diberikan.

Sementara itu, Dr. Kok Ei Chuen pula memberitahu, pemilihan peserta bagi kaji selidik itu dilakukan secara rambang.

Tambah beliau, jumlah peserta bagi setiap daerah adalah tertakluk kepada jumlah penduduk di mana bagi Daerah Brunei dan Muara, seramai 2,000 peserta telah dipilih, Daerah Tutong (650 orang), Daerah Belait (800 orang) dan Daerah Temburong (550 orang).

Mengulas mengenai hasil kajian fasa pertama kaji selidik itu, Dr. Melissa berkata, maklumat dan data fasa pertama kaji selidik itu sedang dianalisis oleh pihak konsultan dan hasil daripada kajian berkenaan termasuk hasil kaji selidik fasa kedua dijangka siap pada April 2017.Katanya, secara purata hanya 30 peratus penduduk Brunei yang membuat rawatan atau pemeriksaan kesihatan gigi setiap tahun dan oleh itu, maklumat yang diperoleh daripada kaji selidik itu diharap dapat digunakan untuk mengenal pasti kaedah yang terbaik atau strategi terbaik untuk meningkatkan lagi liputan penjagaan kesihatan.

ARTIKEL YANG SAMA