Fasa kedua London City Island dilancarkan

Fasa kedua London City Island dilancarkan

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) – Eco World Ballymore semalam melancarkan secara serentak fasa kedua London City Island (LCI), di United Kingdom, Malaysia dan Singapura.

Projek tersebut mempunyai nilai pembangunan kasar 614 juta (RM3.43 bilion).

Fasa kedua projek penjanaan semula itu yang terletak di East London merangkumi 417 rumah baharu yang terdiri daripada unit suit hinggalah unit rumah dengan satu hingga empat bilik di dua blok.

Projek itu merupakan pembangunan bersama antara Eco World Development Group Bhd yang berpangkalan Malaysia dan Ballymore Group yang berpangkalan di London, yang kemudiannya membentuk Eco World Ballymore.

Pengarah Eco World Ballymore Datuk Voon Tin Yow berkata fasa kedua projek itu akan terdiri daripada enam blok.

“Hari ini kami melancarkan dua blok pertama dengan nilai pembangunan kasar 200 juta (RM1.18 bilion), dan setakat ini, lebih 80 peratus telah terjual dengan 50 peratus ialah pembeli Malaysia,” katanya semalam kepada pemberita pada majlis pelancaran itu.

Harga bagi rumah tersebut bermula daripada 300,000 (RM1.7 juta) sehingga 1.2 juta (RM6.7 juta).

Pembinaan fasa kedua akan bermula pada suku keempat 2015 dan dijangka siap pada suku akhir 2017.

Selain LCI, Eco World Ballymore membangunkan dua lagi tapak iaitu Arrowhead Quay serta Embassy Gardens.

Kira-kira 2,500 unit pangsapuri kediaman persendirian akan dibangunkan di ketiga-tiga tapak itu dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira 2.2 bilion (RM11.9 bilion).