Fasa pertama projek pos siap

KUCHING, 9 Okt – Pembinaan Pusat Pengagihan Serantau e-Dagang (e-Commerce RDC) di bangunan Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) lama di Sepang, Selangor hampir siap dan dijangka dilancarkan hujung tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Berhad, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh.

Beliau berkata fasa pertama projek itu sudah siap seratus peratus, malah Lazada Malaysia dan alibaba.com sudah pun mengisi gudang-gudang di pusat berkenaan dengan barangan dan peralatan mereka.

Mohd Shukrie berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Sambutan Hari Pos Sedunia Wilayah Sarawak oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari di Pejabat Pos Besar Kuching di sini, hari ini.

Pos Malaysia Bhd mengukuhkan kedudukan sebagai pemangkin perubahan dalam industri e-Dagang dan logistik apabila memeterai Memorandum Kerjasama (MOC) dengan Lazada Malaysia pada Mac lalu bagi pembangunan pusat RDC e-Dagang bernilai RM120 juta itu yang bakal menjadi pusat sehenti yang antara lain menawarkan khidmat nilai tambah seperti penyelesaian logistik pengangkutan air-laut-udara, penghantaran antarabangsa, perkhidmatan pos dan kurier serta khidmat pergudangan.

Ditanya sama ada Pos Malaysia mempunyai sebarang perancangan untuk membuka hab seumpama itu di negeri lain, Mohd Shukrie berkata ia bergantung kepada kerajaan negeri yang berminat.

Datuk Jailani Johari (tiga, kanan) melepaskan para peserta konvoi bermotosikal terdiri daripada kakitangan Pos Malaysia di hadapan Pejabat Pos Besar Kuching pada sambutan Hari Pos Sedunia. – Bernama

Beliau berkata setakat ini kerajaan negeri Sarawak telah menyatakan minat untuk membuka pusat seumpama itu di sini.

“Sekiranya hasrat kerajaan negeri Sarawak itu menjadi kenyataan maka Sarawak akan menjadi negeri pertama di luar Kuala Lumpur untuk membangunkan pusat berkenaan,” kata Mohd Shukrie.

Sementara itu di PERAK, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata perkhidmatan pos dan kurier menjadi input strategik kepada pembangunan ekonomi digital dan e-dagang di negara ini.

Pertumbuhan segmen penghantaran bungkusan dijangka berterusan selari pertumbuhan pesat ekonomi digital yang memerlukan pelaburan baharu bagi meningkatkan kapasiti kendalian seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan, katanya dalam ucapan pada Sambutan Hari Pos Sedunia peringkat Perak di Pejabat Pos Teluk Intan.

“Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan dan Zon Perdagangan Bebas Digital yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini memerlukan industri pos dan kurier yang diselia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Ia bertujuan melaksanakan inisiatif transformasi untuk meningkatkan tahap produktiviti setiap warga kerja melalui pembangunan kapasiti berterusan bagi mencapai sasaran pertumbuhan e-dagang yang direncanakan,” katanya. – Bernama