FashionValet bawa jenama terkenal ke Brunei

FashionValet bawa jenama terkenal ke Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Hari Raya bakal menjelang tidak lama lagi dan promosi busana Aidilfitri giat dijalankan oleh pelbagai pihak, termasuklah gedung beli-belah fesyen dalam talian terkenal, FashionValet yang membawakan jenama terkemuka dan tempatan Asia Tenggara dalam koleksi rayanya.

Selepas jamuan minum petang eksklusif di Singapura, Indonesia dan Kuala Lumpur yang diadakan dengan jayanya, FashionValet atau lebih dikenali sebagai FV tidak sabar untuk ke Brunei.

Acara persendirian bagi pihak media dan pelanggan atasannya serta orang yang berpengaruh dalam fesyen akan diadakan di sini, bagi membina hubungan rapat dengan rakan niaganya.

FashionValet dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, mengatakan kedai pertama sementaranya akan dibuka antara 11hingga 17 Jun ini di Indera Kayangan Ballroom di The Empire Hotel & Country Club dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Ia akan bergabung dengan Bank Standard Chartered sebagai bank rasminya di Brunei. Pelanggan bank itu akan menjadi orang pertama yang dapat melihat dan membeli koleksi raya FV dan menikmati diskaun 10 peratus bagi pembelian dalam talian dan di kedai pada 11 Jun sahaja.

Dalam pada itu, jamuan persendirian di Brunei akan diadakan di tempat sama pada 12 Jun sebagai jamuan berbuka puasa di mana FV akan meraikan pelanggan VIP, pereka fesyen FV serta orang berpengaruh dalam media sosial dan media. Pelanggan pada jamuan ini juga akan mendapat diskaun istimewa 10 peratus daripada koleksi raya FV yang dipamerkan.

Pakaian-pakaian yang boleh dibeli pada majlis sungkai itu ialah daripada jenama Alia B., Syomirizwa Gupta, nh by Nurita Harith, emel by Melinda Looi, Poplook Premium, Mimpikita dan banyak lagi.

ARTIKEL YANG SAMA