FASS UBD akan adakan BIAT ke-18

FASS UBD akan adakan BIAT ke-18

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Universiti Brunei Darussalam (UBD) menerusi Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS) akan mengadakan Persidangan Bahasa Inggeris di Asia Tenggara ke-18 (BIAT) pada 16 dan17 November depan di Dewan Canselor, dengan mengetengahkan tema ‘Interaksi Bahasa Inggeris dan bahasa lain di Asia Tenggara’.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UBD, menerusi ucaptama dan pembentangan-pembentangan selari, persidangan ini akan membincangkan interaksi pelbagai lapisan antara bahasa kebangsaan, serantau dan tempatan Asia Tenggara dan Bahasa Inggeris, bagi para pengguna individu, masyarakat kebangsaan serta antarabangsa.

Pada persidangan itu nanti, ucaptama akan dibentangkan oleh pakar-pakar linguistik di rantau ini termasuklah Profesor Adam Jaworski (University of Hong Kong), Profesor Andy Kirkpatrick (Griffith University, Brisbane, Australia) yang juga Profesor Lawatan Terkemuka (EVP) di FASS, dan Profesor David Deterding (UBD). Selain itu, dua sesi khas bengkel dan pembentangan lebih 50 kertas kerja dijadualkan bagi acara itu.

Selain pembentangan kertas kerja oleh pakar-pakar antarabangsa, kebanyakan pembentangan akan menampilkan cendekiawan lebih muda, termasuklah beberapa kertas kerja yang menarik perhatian oleh pensyarah-pensyarah muda dan siswazah-siswazah di UBD, yang akan membentangkan hasil PhD dan penyelidikan lain mereka.

Persidangan itu terbuka kepada guru-guru dan kakitangan dari Kementerian Pendidikan, sekolah-sekolah, Perkhidmatan Pendidikan CfBT dan sekolah-sekolah swasta dan pertubuhan.

Siri Persidangan BIAT ini bertujuan mencapai keseimbangan antara isu-isu pembelajaran Bahasa Inggeris, aspek-aspek dasar bahasa dan perancangan, kesusasteraan dalam Bahasa Inggeris di seluruh Asia Tenggara, linguistik Bahasa Inggeris dan kaitan Bahasa Inggeris dengan kebanyakan bahasa lain di rantau Asia Tenggara.

Ia menawarkan peluang luar biasa untuk mendengarkan pelbagai pakar-pakar membincangkan mengenai isu-isu yang secara langsung relevan dengan kehidupan mereka sendiri selaku anggota masyarakat berbilang bahasa.

Menurut kenyataan itu, Persidangan BIAT bermula pada 1996 sebagai kerjasama antara Institusi Pendidikan Kebangsaan Nanyang Technological University (Singapura), Universiti Malaya dan UBD.

Sejak itu, persidangan ini telah diadakan setiap tahun dengan kumpulan rakan usaha lebih meluas di seluruh rantau Asia Pasifik. Ia dihadiri oleh kumpulan cendekiawan antarabangsa dari negara-negara ASEAN, Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, Australia dan negara-negara lain.

Sebelum ini, UBD pernah menjadi tuan rumah bagi persidangan ke-10 pada tahun 2005, yang telah membawa kepada penerbitan jilid penting ‘English in Southeast Asia: Varieties, literacies and literatures’ yang telah diterbitkan pada tahun 2007, disunting bersama D. L. Prescott, T. A. Kirkpatrick, I.P. Martin dan Azirah Hashim.

Bayaran pendaftaran persidangan ini ialah $350, yang merangkumi beg persidangan dan kandungannya, makan tengah hari, sarapan pagi dan makan petang pada kedua-dua hari, manakala itu, pelajar-pelajar juga layak mendapat diskaun bayaran pendaftaran $140.

Bagi keterangan lanjut tentang persidangan dan pendaftaran, orang ramai boleh melayari laman sesawang http://fass.ubd.edu.bn/ESEA18/home/index.html, atau e-mel ke conf.esea18@ubd.edu.bn.

ARTIKEL YANG SAMA