Fatma wanita pertama jadi Setiausaha Agung FIFA

Fatma wanita pertama jadi Setiausaha Agung FIFA

PARIS, 15 Mei (AFP) – Fatma Samoura mungkin tidak cukup dikenali dalam dunia bola sepak namun berharap pengalaman dua penggalnya sebagai diplomat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan membantunya memulihkan ‘imej tercemar’ Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Sasaran utama saya adalah untuk menyokong program presiden Gianni (Infantino) dan membantu memulihkan reputasi buruknya,” kata diplomat Senegal di PBB itu yang dilantik sebagai Setiausaha Agung FIFA, sekali gus mencatat sejarah wanita pertama bergelar Setiausaha Agung badan induk bola sepak dunia itu.

“Kepada pengkritik yang bercakap mengenai kekurangan pengalaman terhadap saya, saya hanya berharap untuk diberi tempoh bagi membuktikan kewibawaan diri,” katanya menerusi temubual telefon dari Abuja, Nigeria ketika sedang menjalankan tugas buat PBB.

Jawatan kedua tertinggi FIFA itu bukanlah asing dalam pergelutan kuasa yang membawa kepada kejatuhan FIFA, kerana Samoura pernah bertugas sebagai wakil Program Pembangunan PBB selepas era rampasan kuasa di Madagascar dari 2010 hingga 2015 sebelum ke Nigeria.

Setiausaha Agung FIFA baru, Fatma Samoura semasa menghadiri sidang kemuncak keselamatan serantau di Boko Haram di Abuja. – AFP
Setiausaha Agung FIFA baru, Fatma Samoura semasa menghadiri sidang kemuncak keselamatan serantau di Boko Haram di Abuja. – AFP

“FIFA ialah PBB bola sepak dan saya membawa pengalaman 21 tahun dalam sektor swasta dan PBB bersama pengurusan yang berhemah, ketelusan dan satu tanggungjawab untuk membawa perubahan dan akauntabiliti badan ini,” katanya wanita yang berusia 54 tahun itu.

Selama bertahun-tahun berkhidmat dengan PBB, termasuk terbabit dalam Program Pemakanan Dunia sudah membawa Samoura dalam kemahiran pengurusan menangani krisis di kawasan tumpuan dunia di Afghanistan, Chad dan Darfur.

Samoura yang dinamakan pengganti kepada Jerome Valcke dari Perancis pada Kongres FIFA di Mexico semalam hanya akan memulakan tugas pada pertengahan Jun ini selepas menjalani ujian kelayakan jawatan itu oleh satu jawatankuasa semakan bebas.

ARTIKEL YANG SAMA