Fattah dan Neelofa akui masih berhubung

Fattah dan Neelofa akui masih berhubung

SHAH ALAM – Pelakon kacak, Fattah Amin, mengakui masih berhubung dengan Neelofa meskipun drama lakonan mereka yang mendapat sambutan hangat, Suri Hati Mr Pilot, sudah selesai ditayangkan.

Beliau berkata, hubungan rapat antara mereka masih berterusan, termasuk berhubung melalui panggilan telefon dan laman sembang.

“Saya masih lagi berhubungan dengan Lofa dan kami rapat. Saya akui, kami juga keluar bersama-sama,” katanya

Beliau bagaimanapun menjelaskan, perhubungan itu diteruskan kerana masih ada permintaan untuk mereka menghadiri majlis bersama-sama ekoran drama popular berkenaan.

Menurutnya, undangan masih berterusan dan beberapa acara bertemu dengan peminat drama bersiri itu juga sudah diatur, termasuk di Brunei.

Ramai peminat yang sangat menggemari gandingan Neelofa dan Fattah Amin dalam siri drama Suri Hati Mr Pilot.
Ramai peminat yang sangat menggemari gandingan Neelofa dan Fattah Amin dalam siri drama Suri Hati Mr Pilot.

“Kami turut pergi Brunei untuk menjayakan majlis bertemu peminat drama Suri Hati Mr Pilot. Saya bersyukur kerana walaupun drama ini sudah tamat, sambutan hangat masih berterusan. Saya sendiri kadang kala bagai tidak percaya dengan semua ini,” katanya. Fattah menganggap kejayaan dikecapi drama terbabit dari segi sambutan peminat sebagai rezeki dan perkembangan baik untuk kerjaya seninya.

Ketika diminta mengulas mengenai kegembiraan peminat melihat kemesraan watak Ejaz dan Warda dalam siri itu, malah ada yang berharap supaya Fattah dan Neelofa benar-benar bercinta, jejaka itu hanya tersenyum penuh makna.

Bagi pelakon yang mula dikenali menerusi drama berantai Playboy Itu Suami Aku ini, apabila peminat menyukai gandingannya bersama Neelofa, ia bermakna lakonan mereka sampai kepada penonton.

“Terima kasih kerana menyukai lakonan kami. Saya amat menghargainya. Kalau ditanya mengenai perkara lebih daripada itu, saya sendiri sukar untuk mengatakannya. Soal jodoh saya serahkan kepada Allah,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA