FC Rostov bebas meldonium

FC Rostov bebas meldonium

ZURICH, Switzerland, 19 Mei (AFP) – Kesebelasan utama kelab pencabar kejuaraan Liga Russia, FC Rostov yang terpaksa mengharungi ujian dadah susulan dakwaan penggunaan bahan terlarang, meldonium disahkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak melakukan sebarang kesalahan.

Pasukan itu diuji, 12 Mei lalu berikutan kemenangan 3-1 ke atas Dynamo Moscow yang membawa kelab itu ke kedudukan kedua Liga Perdana Russia.

“Ujian doping terhadap kesemua pemain yang bermula di kesebelasan utama FC Rostov yang tidak diumumkan pada 12 Mei 2016 oleh bahagian anti doping FIFA sudah menganalisa dan keputusannya adalah negatif,” kata Ketua Pegawai Perubatan FIFA, Jiri Dvorak.

Keputusan untuk melakukan ujian dadah terhadap pasukan kemudian dikecam oleh Menteri Sukan Russia, Vitaly Mutko dan menyifatkannya sebagai “pemalsuan yang benar-benar palsu.”

Agensi Anti Doping Dunia (WADA) memasukkan meldonium dalam senarai bahan terlarang pada 1 Januari lalu dan sejak itu, lebih 170 kegagalan direkodkan termasuk paling popular iaitu bintang tenis Russia, Maria Sharapova.

Dibangunkan pada era-1970an oleh negara bekas Kesatuan Soviet untuk mengubati masalah hati dan diabetes, dadah itu turut mampu meningkatkan prestasi atlet kerana meningkatkan aliran darah.