FDI di Malaysia meningkat kepada RM500.2 bilion

FDI di Malaysia meningkat kepada RM500.2 bilion

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) – Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Malaysia meningkat kepada RM500.2 bilion pada suku ketiga 2015 berbanding RM477.4 bilion dicatatkan pada suku kedua tahun ini.

Sektor pembuatan kekal sebagai penerima FDI tertinggi iaitu 43.4 peratus, diikuti sektor kewangan dan insurans (20.9 peratus) serta sektor maklumat dan komunikasi (9.4 peratus).

Tiga sumber negara utama bagi FDI adalah dari Singapura, Jepun dan Belanda, menurut Jabatan Perangkaan dalam kenyataan.

Nilai aset pegangan Malaysia di luar negara kekal melebihi nilai aset pegangan asing di Malaysia, dengan jumlah kedudukan aset kewangan meningkat sebanyak RM183.2 bilion kepada RM1.71 trilion berbanding RM1.53 trilion dicatatkan pada suku kedua.

Sementara itu, jumlah liabiliti naik RM71.1 bilion kepada RM1.57 trilion berbanding RM1.5 trilion pada suku kedua. Pelaburan langsung mencatatkan kedudukan aset bersih RM101.4 bilion pada akhir suku ketiga 2015, bertambah RM56.4 bilion berbanding suku sebelumnya.

Stok Pelaburan Langsung di Luar Negeri (DIA) meningkat sebanyak RM79.2 bilion untuk mencatat RM601.6 bilion pada suku ketiga berbanding RM522.3 bilion dicatatkan pada suku kedua dengan destinasi utama DIA adalah Singapura, Indonesia dan Kanada.

Sementara itu, jumlah nilai stok liabiliti pelaburan portfolio berkurangan sebanyak RM3.4 bilion kepada RM608.1 bilion berbanding RM611.5 bilion pada suku kedua.

ARTIKEL YANG SAMA