Federer, Djokovic ikon Spieth

Federer, Djokovic ikon Spieth

LOS ANGELES, 17 Feb – Pemain nombor satu dunia Jordan Spieth mahu mengikuti jejak ikon tenis, Roger Federer dan Novak Djokovic dalam usahanya mengukuhkan kedudukan tertinggi dalam dunia golf.

Selepas menguasai tahun 2015 yang menyaksikan dia memenangi dua kejohanan major berturut-turut di Masters dan Terbuka Amerika Syarikat (AS), sebelum tempat keempat di Terbuka British dan kedua di Kejuaraan PGA, Spieth sudah pun menjulang trofi pertamanya tahun ini.

Pemain 22 tahun kelahiran Texas itu dalam pemburuan kejuaraan kedua tahun ini apabila dia beraksi di Terbuka Northern Trust di Kelab Country Riviera esok.

Bercakap kepada wartawan semalam, Spieth berkata aksi konsisten dan sikap dahagakan kejayaan berterusan yang ada pada Federer, Djokovic dan beberapa bintang tenis lain menjadi inspirasi buatnya untuk melakar perjalanan kariernya.

“Amat menakjubkan bagaimana dua sehingga lima pemain tenis serentak dapat melengkap sukan berkenaan,” kata Spieth.

“Ia cukup menghairankan. Ia seperti anda mempunyai tiga atau empat pemain ranking teratas dunia, mara ke separuh akhir setiap kali.

“Banyak yang boleh dipelajari daripada melihat pemain ini dan memahami yang walaupun mereka sudah bergelar pemain nombor satu dunia, mereka masih bersemangat untuk bekerja keras – sesuatu yang tidak biasa anda lihat dalam kehidupan biasa.

“Maksud saya, biasanya apabila anda sudah berada di atas, anda hanya akan menikmatinya sambil menghembuskan nafas lega. Pemain ini pula baru menarik nafas. Ia amat menakjubkan.

“Federer menangani dirinya dengan kelas tersendiri. Setiap orang yang saya temui adalah peminatnya. Djokovic pula cukup bersemangat dan seorang atlet yang luar biasa sejak sedekad lalu.”

Spieth berpeluang mengukuhkan kedudukan di Riviera minggu ini, lapangan yang mula dikenalinya sejak bermain di peringkat kolej lagi.

“Ia salah satu lapangan kegemaran saya di seluruh dunia. Saya berlatih semalam (kelmarin) dan keadaannya sungguh menakjubkan,” katanya.

Tahun lalu Spieth terlepas peluang untuk memaksa penentuan playoff dan terpaksa akur berkongsi tangga keempat di kejohanan ini.

Selepas itu Spieth mencatat enam kemenangan dan menerajui kelompok generasi baru dunia golf yang sentiasa konsisten dan bermain pada prestasi terbaik mereka. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA