Federer gantung raket musim ini

Federer gantung raket musim ini

PARIS, 28 Julai – Juara Grand Slam 17 kali, Roger Federer berkata dia akan terlepas baki musim ini, termasuk Sukan Olimpik bulan depan di Rio berikutan kecederaan lutut yang dialami belum pulih sepenuhnya.

Federer, yang berusia 35 pada bulan Ogos, menjalani pembedahan lutut pada bulan Februari lalu sebelum terlepas Terbuka Perancis pada Mei kerana mengalami masalah belakang, dan bintang Switzerland itu berkata beliau meminta masa pada musim 2016 untuk memberi tumpuan kepada pemulihannya.

Beliau percaya ia adalah tindakan yang tepat bagi memastikan kariernya dalam sukan tenis berpanjangan untuk beberapa tahun lagi.

“Saya akui kecewa gagal mengibarkan bendera Switzerland di Rio de Janeiro nanti dan sangat sukar terpaksa melupakan baki saingan Jelajah ATP musim ini.

“Namun, saya akan bekerja keras kerana mempunyai motivasi yang cukup tinggi untuk bangkit semula menjelang musim baharu pada tahun depan,” kata Federer dalam laman sosial Facebook.

Sebagai rekod, pemain berusia 34 tahun itu pernah memenangi pingat emas acara beregu pada temasya Sukan Olimpik 2008 di Beijing sebelum meraih pingat perak acara perseorangan pada Sukan Olimpik 2012 di London selepas tewas di tangan seteru, Andy Murray.

“Tidak ada yang lebih penting bagi seorang atlet daripada kesihatan mereka.’

‘Kami ingin Roger Federer pulih secepatnya dan kami berharap dapat mengikuti kerjaya cemerlang beliau tahun depan,” kata Stoeckli dalam satu kenyataan Olimpik Swiss. – AFP