Federer kembali beraksi

Federer kembali beraksi

MONTE CARLO, 13 April (AFP) – Aksi kembali Roger Federer dari kecederaan mempamerkan permainan hebat sekalipun tidak beraksi sejak dua bulan setengah lalu apabila mengetepikan Guillermo Garcia-Lopez 6-3, 6-4 untuk mara ke pusingan ketiga Kejohanan Monte Carlo Masters.

Belum pernah memenangi kejuaraan di Monte Carlo termasuk tewas pada empat penampilan final, Federer yang juga bekas pemain nombor satu dunia terpaksa berehat panjang selepas mengharungi pembedahan lutut pada 3 Februari lalu.

Dijangka kembali beraksi pada bulan lalu pada kejohanan Miami Masters, pemain kelahiran Switzerland itu terpaksa memanjangkan cutinya selama tiga minggu selepas diganggu masalah perut.

Ketika diminta mengulas mengenai tahap pemulihan lututnya, pemenang 17 gelaran Grand Slam itu berkata: “Lutut saya berada dalam keadaan baik dan ia rasa seperti ketika latihan. Saya tidak bimbang mengenainya.

Federer dengan mudah mengatasi lawannya Guillermo Garcia-Lopez pada pusingan kedua Kejohanan Monte Carlo Masters. – AFP
Federer dengan mudah mengatasi lawannya Guillermo Garcia-Lopez pada pusingan kedua Kejohanan Monte Carlo Masters. – AFP

“Pada kedudukan ini, saya lihat lebih ke depan. Ianya hebat dan ini membina keyakinan saya,” katanya yang turut mengulas kemenangan ke atas Garcia-Lopez adalah permainan sempurna untuknya.

Bagaimanapun, berbeza dengan Federer, pemain nombor dua dunia, Andy Murray terpaksa bergelut sebelum terselamat pada aksi pembukaan di gelanggang tanah liat.

Pemain kelahiran Scotland itu terpaksa bergelut mengatasi pemain dari pusingan kelayakan, Pierre-Hugues Herbert 6-2, 4-6, 6-3.