Federer mara, Bencic terus cipta kejutan

Federer mara, Bencic terus cipta kejutan

CINCINNATI, 19 Ogos – Roger Federer mudah melepasi halangan pertama, manakala pemain pilihan Maria Sharapova dan Venus Williams pula menarik diri akibat cedera pada saingan Masters Cincinnati ATP dan WTA di sini, semalam.

Federer yang kembali beraksi sejak tewas kepada Novak Djokovic pada final Wimbledon, kira-kira sebulan lalu, menundukkan pemain Sepanyol, Roberto Bautista Agut 6-4, 6-4.

“Ia adalah kemenangan yang baik bagi saya dan boleh menjadi lebih sukar bermula dari sini,” kata Federer memburu rekod gelaran ketujuh di sini.

“Sudah lama saya tidak bermain dan terasa sedikit berkarat pada set pertama. Saya memerlukan perlawanan sekarang. Jadi, adalah bagus untuk bermula dengan baik di sini.

“Saya gembira saya dapat mengharungi aksi pertama ini. Saya ada sehari cuti esok di mana saya boleh berfikir bagaimana perkara berlaku hari ini dan di mana saya perlu memperbaiki diri.”

Federer mengembalikan pukulan kepada Roberto Bautista di Masters Cincinnati semalam. – AFP
Federer mengembalikan pukulan kepada Roberto Bautista di Masters Cincinnati semalam. – AFP

Sharapova pula yang turut kembali selepas berehat dari saingan Wimbledon tidak beraksi di sini, kerana masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan pada kaki.

Sebelum ini dia turut terlepas aksi di Toronto. Williams pula menarik diri akibat tidak sihat ketika sedang dalam pertarungan menentang pemain Serbia, Ana Ivanovic.

Sementara itu, pemain remaja Switzerland, Belinda Bencic terus mencipta kejutan pada kejohanan ini apabila menewaskan bintang Jerman dan pilihan ke-11, Angelique Kerber, 7-5 6-3 pada pusingan pertama untuk meneruskan kemaraan.

Minggu lalu, dia menumbangkan pemain nombor satu dunia, Serena Williams pada saingan separuh separuh akhir Piala Rogers, sebelum merangkul kejuaraan pada final. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA