Federer, Nadal di persimpangan kerjaya

Federer, Nadal di persimpangan kerjaya

NEW YORK, 26 Ogos (AFP) – Roger Federer dan Rafael Nadal, masing-masing dengan 31 gelaran utama, menuju persaingan Terbuka AS dengan kejayaan Grand Slam mereka di persimpangan jalan.

Biarpun berusia 34 tahun, Federer adalah pemenang gelaran Cincinnati Masters ketujuh hujung minggu lalu selepas mengetepikan pemain nombor satu dunia – dan pemain pilihan Terbuka AS – Novak Djokovic pada persaingan akhir.

Ia adalah gelaran ke-87 bintang dari Switzerland itu dan membalas dendam bagi kekalahan kedua berturut–turut pada persaingan akhir Wimbledon di tangan pemain dari Serbia itu bulan lalu. Tetapi Federer tewas di New York sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Juara lima kali dari 2004 hingga 2008 itu menduduki tempat kedua di belakang Juan Martin del Potro pada 2009 dan belum pernah mara ke final sejak itu. Rekod Grand Slam beliau pada 2015 juga bercampur-campur.

Juara Wimbledon tujuh kali itu mungkin sekurang-kurangnya sampai ke final All England Club, tetapi persaingan didahului dengan penyingkiran pusingan ketiga kepada pemain Itali, Andreas Seppi di Terbuka Australia untuk penyingkiran terawalnya di Melbourne dalam tempoh 14 tahun.

Dia kemudian melalui kekalahan suku akhir di Roland Garros kepada pesaing Stan Wawrinka. Gelaran terakhir Federer dalam Grand Slam hadir di Wimbledon pada 2012 dan jika dia memenangi Terbuka AS tahun ini, dia adalah juara tertua sejak Ken Rosewall, 35, pada 1970.

Ketika pemain dari Switzerland itu kekal dalam kuasa tenis, Nadal pula menampakan kemerosotan yang dahsyat.

Pemain dari Sepanyol berusia 29 tahun dan juara 2010 dan 2013 di New York, melalui tahun yang sukar dengan kesakitan saraf lutut, pergelangan tangan dan menjadi lemah.

Selepas tersingkir sebagai juara Terbuka Perancis – kekalahan suku akhir kepada Djokovic adalah kekalahan keduanya di Paris – Nadal jatuh ke tangga ke-10 untuk ranking paling rendah beliau dalam tempoh sedekad.

Dia kembali kepada kedudukan nombor lapan, tetapi bukan lagi pemain yang pernah mengetepikan para pesaingnya sebelum ini.