Federer, Nadal mara

Federer, Nadal mara

LONDON, 1 Julai (AFP) – Juara tujuh kali Roger Federer dan Rafael Nadal, pemenang 2008 dan 2010, mara ke pusingan kedua Wimbledon semalam ketika kehangatan pertandingan hampir memecah rekod.

Pilihan kedua, Federer berusaha menjadi pemain pertama memenangi gelaran kelapan Wimbledon dan kejayaan ke-18 selepas menikmati kemenangan selama 67 minit dengan 6-1, 6-3, 6-3 ke atas Damir Dzumhur dari Bosnia, pemain nombor 88 dunia yang dikalahkannya di Terbuka Perancis tahun ini.; Federer akan menghadapi Sam Querrey dari AS bagi merebut tempat 32 terakhir.

Nadal yang tewas pusingan kedua, pusingan pertama dan keempat dalam tempoh tiga tahun, mara ke pusingan kedua dengan kemenangan 6-4, 6-2, 6-4 ke atas Thomaz Bellucci untuk kemenangan kelimanya dalam lima pertemuan menentang pemain ranking ke-42 dari Brazil.

Pilihan ke-10 Nadal, ranking terendahnya sejak sedekad, menghadapi Dustin Brown dari Jerman bagi merebut tempat dalam 32 pemain terakhir.

Juara bertahan wanita Petra Kvitova yang juga pilihan kedua, hanya mengambil masa 35 minit untuk mara ke pusingan kedua dengan kemenangan 6-1, 6-0 ke atas Kiki Bertens, pemain nombor 108 dunia dari Belanda.

Kvitova yang juga juara 2011, jatuh satu mata pada servis dan lawan seterusnya ialah Kurumi Nara dari Jepun bagi merebut tempat dalam 32 pemain terakhir. Dia hanya tercicir satu mata akibat double fault pada permainan akhir pertandingan itu.

Pemain tangan kidal berusia 25 tahun itu tenang menikmati pusingan pertama ketika suhu memuncak kepada 30 darjah Celsius.

Hari ini dijangka akan menyaksikan rekod suhu tertinggi Wimbledon sekitar 35 darjah yang memerlukan indeks kepanasan, di mana pertandingan digantung sementara dan akan dirundingkan.

Penganjur berkata peraturan kepanasan, yang membenarkan rehat selama 10 minit antara set kedua dan ketiga bagi pertandingan wanita, boleh digunakan apabila suhu melebihi 30.1 darjah Celsius.

ARTIKEL YANG SAMA